Malaysia Dateline

Bersembang dengan Ong, MB Kedah akhirnya akui masuk ke dalam kereta

Ibarat bersembang dengan kawan, begitulah yang dilihat pada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor apabila sepatutnya memberi keterangan kepada pihak polis.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu memberitahu pemberita semalam bahawa dia melihat ruang dalaman dan duduk di kerusi penumpang depan kereta jenis Ford Raptor di pusat pameran dan jualan di Autocity Juru, Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada 5 Jun lalu.

Pengakuannya itu sekali gus dilihat bercanggah dengan Setiausaha Politiknya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat apabila berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan hanya “pi jenguk kereta, bukan pi nak beli”.

Bahkan, alasan Afnan kononnya Sanusi singgah di Juru untuk membeli makanan di premis yang ‘kebetulan’ hampir dengan pusat pameran dan jualan kenderaan itu juga menimbulkan kesangsian orang ramai apabila terbukti jarak sebuah restoran mamak terdekat adalah sejauh 142 meter termasuk perlu menyeberang jalan besar.

Menceritakan kejadian yang berlaku petang tersebut kepada pemberita, Sanusi berkata, ketika itu dia bersama pemandu dan pengiringnya iaitu seorang anggota polis dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Urusan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 itu, jelas Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat tersebut untuk menghadiri mesyuarat serta mengadakan pertemuan bersama pelabur di ibu kota.

“Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah kedai serbaneka di Autocity bagi membeli makanan antaranya roti dan minuman.

“Sementara menunggu pemandu membeli barangan itu, saya menyapa seorang penjual yang sedang menyusun kenderaan di situ.

“Penjual itu yang bernama Ong cukup ramah walaupun mulanya dia tak perasan saya Menteri Besar.

“Kami bersembang mengenai kenderaan dijualnya sebelum saya meminta untuk melihat ruang dalaman dan duduk di kerusi penumpang depan,” dipetik Utusan Malaysia.

Sanusi dilihat sibuk ‘menjenguk’ kereta jenis Ford Raptor di Juru walaupun kerajaan banyak kali mengingatkan rakyat duduk di rumah.

Sanusi berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Al-Farabi, Kompleks Pendidikan Negeri di Alor Setar semalam.

Bagaimanapun, dia menafikan sama sekali tidak pandu uji kereta itu sebaliknya hanya Ong yang berbuat demikian.

Bukan sahaja kereta jenis Ford Raptor, Sanusi mengakui melihat pula kereta varian lain bagi kenderaan yang sama tetapi tidak masuk ke ruang dalam kereta tersebut.

Tambahnya, pengawal pengiringnya turut duduk di bahagian belakang kereta tersebut dan itu jelasnya, memang sebahagian daripada prosedur biasa keselamatan yang sering berlaku.

“Saya tidak membuat pandu uji langsung sebaliknya penjual itu saja yang memandu kenderaan tersebut.

“Selepas itu, kami melihat pula varian lain bagi kenderaan yang sama tetapi kali ini saya tidak masuk ke dalam kenderaan.

“Cumanya apabila pintu kenderaan kedua dibuka, saya ternampak seseorang merakam gambar kami,” katanya lagi yang kini dikecam orang ramai memandangkan dianggap melanggar Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang dilaksanakan kerajaan.

Untuk rekod, sepanjang tempoh SPP, pusat pameran dan jualan kenderaan antara premis yang tidak dibenarkan beroperasi sama seperti semua kompleks beli-belah.

Sehari selepas tular beberapa gambar dan video yang memaparkan kelibat Sanusi di pusat pameran dan jualan kenderaan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Dalam kejadian yang didakwa berlaku kira-kira jam 6.30 petang, 5 Jun lalu, Sanusi didakwa seorang pengguna di Facebook dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).