Malaysia Dateline

Bersempena hari Malaysia, pembangunan di wilayah terpinggir perlu diberi perhatian

Sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, Presiden AMANAH Mohamad Sabu menyentuh tentang pembangunan di beberapa wilayah dan daerah yang masih ketinggalan berbanding di kawasan-kawasan bandar.

Beliau berkata, isu tersebut merupakan aspek terpenting yang perlu diberikan perhatian.

“Pembangunan yang mampan dan seimbang, disamping peningkatan sektor pendidikan akan memacu pembinaan generasi masa hadapan Malaysia yang lebih gemilang.

“(Malah, Malaysia) boleh duduk atau berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya pagi ini.

Menerusi tulisannya, Mohamad berkata, Malaysia merupakan negara yang unik apabila pelbagai bangsa dan suku yang berbeza agama, budaya dan bahasa boleh duduk sebumbung, hidup secara aman dan damai.

Menurutnya, keunikan yang wujud dalam negara ini jarang-jarang berlaku di negara negara lain.

“Tahun ini hampir enam dekad Malaysia terbentuk hasil gabungan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia suatu keunikan.

“Selamat Hari Malaysia dan selamat menyambut 6 tahun usia Parti Amanah Negara,” ucapnya.