Bersendirian tidak akan menang, kata Presiden Amanah

Bersendirian tidak akan menang, kata Presiden Amanah

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan Pas tidak mampu menguasai Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum sebelum ini tanpa permuafakatan politik.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan Pas tidak mampu menguasai Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum sebelum ini tanpa permuafakatan politik.

“Kita mahu menang dalam pilihan raya. Kalau mahu dapat kuasa pemerintahan, kita perlukan sokongan orang ramai.

“Kalau Pas seorang (bersendirian), boleh tak ambil Kelantan dan Terengganu? Tidak boleh.

“Walaupun PKR ada yang kata kecil di Terengganu tapi ia beri manfaat untuk ambil alih Terengganu tahun 1999,” ujarnya dalam ceramah umum di Tumpat, Kelantan semalam.

Beliau berkata, pengalaman Pas menawan Kelantan dalam pilihan raya umum pada 1990 hasil pendekatan politik pimpinan terdahulu iaitu Almarhum Nik Aziz dan Fadzil Noor yang sedia bergabung dengan parti Semangat 46.

“Takdir Allah menjelang 1990, lahir parti Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah walaupun sebelum itu dia kata macam-macam pada Pas.

“Tapi pimpinan mengambil sikap kepala dingin. Mari bergabung berdepan kerajaan pimpinan Mahathir ketika itu. Maka, kita bentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

“Hasilnya, kita tawan Kelantan, Nik Aziz ditabalkan sebagai Menteri Besar,” ujarnya yang turut menang di Parlimen Nilam Puri ketika itu diikuti Parlimen Kubang Kerian pada pilihan raya umum 1995.

Menurut Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu, kejayaan Pas menguasai Terengganu juga hasil daripada gabungan antara parti pembangkang melalui Barisan Alternatif.

“Menjelang tahun 1999, Anwar dipecat. Umno bergolak lagi. Lahir gerakan reformasi. Kali ini didukungi anak muda.

“Maka pimpinan waktu itu ambil keputusan bergabung. Wujudlah Barisan Alternatif, kita (pembangkang) dapat Terengganu,” jelas bekas Timbalan Presiden Pas berkenaan.

Sehubungan itu, tegasnya, parti-parti pembangkang tidak boleh bersendirian untuk berdepan rejim Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita tahu kalau Amanah, PKR, Bersatu, DAP seorang, tidak kuat. Kalau empat (parti) ini bersatu, kuat. Tapi dalam keadaan begini, ada parti terhegeh-hegeh.

“Kita lawan sampai kena ISA. Sekarang kita tengok naik sekapal (bantuan Rohingya). Sengih (pemimpin Pas) sampai tidak boleh tutup mulut,” sindirnya diikuti ketawa hadirin di Kampung Talak, Cabang 4 Tok Mek Ngoh.

TAGS