Bersengkang mata menangkan calon PH PRK Tanjung Piai

Bersengkang mata menangkan calon PH PRK Tanjung Piai

Tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai selama 14 hari bermula 2 November lalu menyaksikan jentera Pakatan Harapan (PH) bertungkus-lumus memenangkan calon Karmaine Sardini dari parti Bersatu.

Tidak terkecuali jentera AMANAH dengan rata-ratanya kurang tidur lantaran mengatur gerak kerja sehingga awal pagi. Hal ini diakui Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Penerangan PH PRK Tanjung Piai, Onn Jaafar.

Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, hal tersebut bagaimanapun sudah menjadi lumrah setiap kali kempen pilihan raya.

“Sepanjang gerak kerja kempen ini, saya sendiri hanya tidur sekitar tiga, empat jam. Ulang-alik rumah di Johor Bahru serta uruskan surat-menyurat berkaitan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline di perkarangan rumah Datuk Seri Salahuddin Ayub dekat Kampung Serkat baru-baru ini.

Onn Jaafar

Khemah besar yang didirikan di hadapan rumah Timbalan Presiden AMANAH itu dilihat menghidangkan juadah makanan yang menjadi tumpuan para petugas kempen termasuk dari luar Johor.

“Dijemput semua hadir ke sini keranan makanan ada disediakan sehingga malam,” kata Onn yang merupakan bekas Pengarah Komunikasi AMANAH Johor.

Menurutnya, komitmen Salahuddin dengan inisiatif hidangan makanan pada siang dan malam sepanjang tempoh kempen juga berkaitan dengan iltizam untuk melihat Parlimen Tanjung Piai dapat terus PH pertahankan.

“Pesanan Timbalan Presiden, Tanjung Piai ini maruahnya. Beliau (Salahuddin) lahir dan dibesarkan di sini.

“Seruan Datuk Salahuddin untuk terus memberi komitmen kepada PH inilah kekuatan kami sepanjang kempen PRK ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Onn, 57, berharap semua jentera kempen terus bekerja kuat sehingga jam 11.59 malam, 15 November nanti bagi memastikan Parlimen Tanjung Piai yang dimenangi dengan majoriti 524 undi pada PRU-14 lalu kekal menjadi milik PH.

Beliau selanjutnya berkata, gerak kerja jentera pilihan raya di enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dun Kukup yang digalas oleh AMANAH penting kerana secara tidak langsung persediaan untuk PRU-15 nanti.

“Lagipun kerusi N.56 Kukup pernah Suhaizan Kayat (Speaker Dewan Undangan Negeri Johor) tandingi pada PRU-14 dengan kalah tipis hanya 862 undi.

“Sebab itu, AMANAH bekerja keras di Dun Kukup. Boleh kumpul data jadikan panduan kepada gerak kerja pada PRU-15,” ujar Onn lagi.

Kenderaan kempen calon PH di Kampung Rimba Terjun.