Malaysia Dateline

Bersidang tiga bulan lagi terlalu lewat, JK Tamat Darurat gesa buka Parlimen Julai ini

Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu yang menekankan kepentingan sidang Parlimen.

Bagaimanapun Pengerusinya, Khalid Samad berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan Parlimen akan dibuka September nanti, seolah-olah menganggap Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak bermaklumat dan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tidak bermakna.

Sedangkan katanya, amat jelas bahawa cadangan untuk Parlimen bersidang kira-kira tiga bulan dari sekarang adalah tidak memadai dan terlalu lambat bagi pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Amat jelas kerajaan PN+BN sama ada amat lembab atau ingin ingkar terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“JK Tamat Darurat berpendapat, kuasa Ordinan Darurat {Seksyen 14 dan 15 (Kuasa-kuasa Perlu) 2021} memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh yang sesuai memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri lembab atau ingkar.

“Sehubungan itu, patik-patik semua memohon Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen pada bulan Julai, iaitu ketika darurat masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid turut menegaskan bahawa sidang Parlimen bukan hanya sebagai mekanisme semak dan imbang, tetapi juga adalah pentas terbaik untuk proses perbahasan mengenalpasti kaedah dan perbelanjaan terbaik bagi menangani pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi negara.

Pada masa sama, beliau juga berpendapat bahawa ketidakstabilan politik ketika ini adalah hasil budaya politik khianat dan politik toksik (habuan dan jawatan) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan PN+BN.