Satu himpunan solidariti menuntut undi 18 dilaporkan akan diadakan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 2.30 petang nanti .
Himpunan yang dianjurkan Bersih 2.0 itu bagi menunjukkan solidariti terhadap beberapa Ahli Parlimen yang dipanggil untuk membantu siasatan polis hari ini.
Menurut Bersih 2.0, individu yang akan dipanggil hari ini antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Pada 30 Mac lalu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad antara lapan individu dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan isu had umur kelayakan mengundi 18 tahun.
Selain Khalid, turut dipanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee; Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin; aktivis Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Abdul Hadi; Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), R Sharan serta Ahli Jawatankuasa Pemuda PSM, K Arveent.
Siasatan dilaporkan telah dibuat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.
Pada 27 Mac, kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada golongan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen.
Himpunan secara aman itu bagi membantah pengumuman SPR Khamis lalu bahawa kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dapat dilaksanakan Julai ini, sebaliknya dijangka selepas 1 September tahun depan.