Malaysia Dateline

Bersih 2.0 bantah kerajaan perpaduan, biar rakyat tentukan pemimpin

Desas desus berhubung cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melaksanakan kerajaan perpaduan yang menjemput ahli parlimen dari pelbagai parti politik untuk turut serta, dibantah oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataannya, menentang keras penubuhan kerajaan sedemikian yang dikatakan bercanggah dengan semangat demokrasi.

Katanya, kerajaan perpaduan itu bakal memperlihatkan tiadanya kehadiran blok pembangkang dalam pemerintahan kerajaan yang akhirnya boleh menjejaskan proses semak dan imbang.

“Demokrasi adalah membenarkan parti politik yang berbeza ideologi untuk bersaing antara satu sama lain demi mendapatkan kuasa dan melaksanakan dasar berdasarkan ideologi mereka.

“Dengan berbuat demikian, mereka akan bekerja keras untuk memenangi undi dan mengetahui bahawa jika mereka gagal melaksanakannya, mereka tidak akan diundi pada pilihan raya.

“Tapi dasar kerajaan perpaduan ini bermakna tidak akan ada pembangkang dalam kerajaan hari itu.

“Tidak akan ada juga pihak yang melakukan semak dan imbang yang berkesan untuk memastikan ketelusan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, ura-ura yang diperkatakan itu dipetik dari beberapa sumber politik yang dipetik Reuters. Namun difahamkan, pejabat Mahathir yang dihubungi Reuters tidak memberikan komen segera.

Penubuhan kerajaan perpaduan itu juga timbul selepas peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri.

Mahathir dikatakan mencadangkan idea itu kepada ketua parti politik utama yang ditemuinya hari ini, termasuk dari BN dan PH, kata laporan yang memetik sumber tidak dinamakan.

Sementara itu, Bersih 2.0 berkata lagi, rakyat juga tidak mempunyai pilihan untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka

Katanya, kerajaan perpaduan berisiko menjadi pemerintahan yang kleptokrasi di mana semua pihak bersama-sama untuk menguntungkan diri sendiri dengan mengorbankan rakyat.

Justeru tegasnya, senario sedemikian sama sekali tidak boleh dibenarkan berlaku.

“Sekiranya Yang di-Pertuan Agong masih tidak dapat menentukan siapa yang memperoleh sokongan majoriti di parlimen dan gabungan mana yang boleh membentuk kerajaan, maka kita memohon untuk membubarkan parlimen.

“Biarkan rakyat memilih parti yang mereka inginkan sebagai kerajaan mereka untuk 5 tahun akan datang,” katanya.