Bersih 2.0 bimbang rakyat dilayan seperti penjenayah selepas RUU MKN

Rakyat akan dilayan seperti penjenayah hanya kerana mempraktikkan kebebasan bersuara ekoran pengenalan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara 2015, tegas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Rang undang-undang yang kini sedang dibahaskan di Dewan Negara selepas lulus di Dewan Rakyat bakal mencengkam demokrasi di Malaysia dan beliau berkata hak asasi manusia yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia juga bakal dihanyutkan.

“Ini kerana selepas MKN (Majlis Keselamatan Negara) diluluskan,  segala kuasa terletak di bawah (badan) eksekutif atau pun di bawah seorang individu sahaja,” ujar beliau dalam kenyataannya hari ini.

RUU MKN 2015 yang dibentang di Dewan Rakyat akhir November lalu memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal serta menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Sehubungan itu, Maria menggesa supaya Putrajaya menggugurkan segala pendakwaan terpilih terhadap kesemua individu yang mempunyai pendirian politik berbeza serta membebaskan semua tahanan politik.

Pada masa sama, Bersih 2.0 turut menuntut agar RUU MKN 2015 yang sedang dibahaskan di Dewan Negara ditarik balik dengan serta-merta.

Mengulas lanjut tentang keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu yang menyaksikan 52 peratus rakyat bekerja keras untuk menyuburkan demokrasi, beliau berkata, mereka telah mengundi untuk melahirkan  Malaysia yang baru dan tidak pernah memilih untuk menyemarakkan fahaman ektremis.

“Sehingga hari ini, Perdana Menteri Najib Razak dan kabinetnya masih gagal memahami dan menjawab segala dakwaan rasuah yang mungkin berkait dengan manipulasi dan kecurangan ketika PRU13 yang lalu.

“Namun, mereka yang mempromosikan pandangan politik ektremis dibiarkan begitu sahaja. Gejala dan suasana politik sebegini sedang berlaku dan dibiarkan berleluasa,” jelasnya.

Menyifatkan rakyat berterusan dikelompokkan mengikut sentimen perkauman, Maria berkata, situasi tersebut dilakukan sebagai strategi pecah perintah dan dalam masa sama  bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Menurutnya, rakyat negara ini diseru agar tidak sesekali tunduk dengan segala tekanan dan penindasan berterusan dari  Putrajaya yang hanya untuk menakut-nakutkan rakyat daripada menuntut perubahan.

“Bersih 2.0 memberi amaran sekali lagi bahawa ekonomi negara bakal merudum lagi akibat ketidakpercayaan kaum pemodal ke atas pemerintahan diktator yang mungkin  menggunapakai  RUU Majlis Keselamatan Negara 2015,” ujarnya lagi.  

TAGS