BERSIH 2.0 buat 4 laporan polis terhadap PH, BN

BERSIH 2.0 buat 4 laporan polis terhadap PH, BN

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini membuat empat laporan polis terhadap BN dan Pakatan Harapan (PH) berhubung kesalahan pilihan raya.

Pengarah Eksekutif BERSIH 2.0, Yap Swee Seng, berkata laporan tersebut ekoran kewujudan ‘pondok panas’, merayu undi dan penyokong parti berkumpul di kawasan pusat pengundian membabitkan kedua-dua parti itu.

“PH dan BN mendirikan pondok panas berdekatan pusat pengundian di Bandar Rinching dekat sini. Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang boleh mendirikan pondok panas.

“Pemantau pilihan raya turut menyaksikan kegiatan meraih undi oleh penyokong kedua-dua parti di empat pusat pengundian,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Semenyih.

Swee Seng berkata empat pusat pengundian itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, Sekolah Kebangsaan (SK) Kantan Permai dan Sekolah Rendah Agama Batu 3.

Beliau turut mendakwa terdapat kenderaan yang memasang logo parti membawa pengundi ke pusat pengundian.

Menurutnya, BERSIH 2.0 juga menyerahkan beberapa rakaman video dan gambar berkaitan kesalahan dilakukan itu kepada polis.

“Laporan ini dibuat supaya siasatan dapat dijalankan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan parti yang bertanding,” tambah Swee Seng lagi.