Malaysia Dateline

Bersih 2.0 cadang 3 keutamaan kerajaan laksanakan reformasi institusi, kembalikan kestabilan politik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini mendesak Kerajaan mengutamakan tiga tindakan penting dalam tahun 2020 bagi memastikan Reformasi Institusi dilaksana dan mengembalikan kestabilan politik dalam negara.

Dalam kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih itu mengariskan tiga tumpuan penting perlu dilaksanakan oleh kerajaan semasa.

Justeru Bersih 2.0 mencadangkan tindakan berikut kepada kerajaan PH untuk dilaksanakan pada tahun 2020.

1. Memenuhi Janji Reformasi– Daripada 19 janji di bawah Teras 2 Manifesto PH untuk reformasi institusi dan politik, kebanyakannya tidak dipenuhi dan paling baik pun hanya dipenuhi secara minima. Janji utama yang kritikal untuk pengasingan kuasa adalah had penggal dan kuasa Perdana Menteri(Janji 12), reformasi SPRM(Janji 14), pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya(Janji 15), mengembalikan kewibawaan Parlimen(Janji 16), reformasi sistem pilihan raya(Janji 17), menggubal undang-undang
pendanaan politik(Janji 18), mengembalikan keyakinan awan terhadap institusi kehakiman dan judisial(Janji 19), membebaskan GLC daripada naungan politik(Janji 22), mengembalikan semangat Federalisme(Janji 24), mengukuhkan demokrasi tempatan(Janji 25) dan memansuhkan undang-undang menindas(Janji 27).

Banyak daripada reformasi ini dapat dicapai tanpa pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti dua-pertiga dan di mana pindaan perlembagaan diperlukan, pihak pembangkang juga perlu diyakinkan untuk menyokongnya kerana sebarang reformasi yang boleh menyeimbangkan kuasa kerajaan adalah untuk kepentingan mereka juga.

Reformasiinstitusi ini tidak memerlukan sumber kewangan bagi memenuhinya dan di mana sumber yang diperlukan untuk kebebasan institusi, wang ini akan disalurkan bagi memastikan tiada kerajaan dapat merompak kekayaan negara.

2. Memanjangkan tempoh sidang Parlimen – Supaya tempoh parlimen cukup untuk
menjalankan pindaan, pemansuhan dan penggubalan undang-undang baru yang diperlukan, Bersih 2.0 mencadangkan Dewan Rakyat untuk bersidang minimum 100 hari dalam setahun, dan sekurang-kurangnya untuk 3 tahun pertama kerajaan PH untuk melaksanakan reformasi perundangan. Ini adalah jelas dalam Janji 16 manifesto namun parlimen masih bersidang hanya 68 hari pada tahun 2019.

3. Tetapkan proses dan tarikh peralihan jawatan Perdana Menteri- 2019 kita telah menyaksikan kebangkitan politik kotor dengan penularan video seks yang dikatakan pelakunya adalah Menteri Ekonomi Azmin Ali dan seorang lagi pasangannya. Ianya adalah rahsia terbuka bahawa adanya pergelutan kuasa untuk siapa yang akan menggantikan Perdana Menteri Mahathir 94 tahun apabila beliau turun daripada jawatannya atau kekal sehingga ke akhirnya.
Bersih 2.0 sekali lagi menekankan seruan kami pada April 2019 untuk mengembalikan kestabilan politik agar reformasi dapat terus berada di landasan dan tidak dilencong oleh politik yang berlebihan.

Bersih 2.0 berpandangan bahawa dalam Sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster, bukannya tugas PM untuk menentukan pewaris jawatannya atau menentukan tarikh peralihan tetapi ianya tugas parti-parti dalam gabungan parti kerajaan untuk membuat keputusan. Oleh itu, Majlis Presiden PH perlu mengembalikan kestabilan politik dengan mengumumkan pelan peralihan kuasa yang jelas dengan tarikh yang tetap.

Mereka juga perlu menegaskan kembali komitmen untuk memenuhi janji manifesto PH dan agenda reformasi dengan menjelaskan garis masa untuk memenuhinya dalam tempoh sepenggal pemerintahan PH.

Kesan tidak mempuntai pelan peralihan yang jelas dan mengunjurkan komitmen kepada agenda reformasi adalah buruk. Pergelutan kuasa politik, teori-teori konspirasi, berita dan khabar angin palsu sedang membentuk iklim ketidakstabilan dan ketidaktentuan, dan ini menghakis keyakinan terhadap kerajaan memerintah. Pelabur asing dan pelabur tempatan serta penjawat awam sedang mengambil pendirian tunggu dan lihat, menjangkakan PH akan menjadi kerajaan sepenggal sekaligus menyekat sokongan dan kerjasama mereka.

Bersih 2.0 ingin mengingatkan kerajaan PH bahawa masa kian suntuk untuk mereka mengotakan janji mereka dan sekiranya mereka tidak mengutamakan reformasi institusi pada 2020, mereka akan terlepas peluang keemasan untuk membaiki kerosakan institusi utama negara dan meninggalkan Malaysia terdedah kepada kerajaan kleptokrat yang lain.

Katanya setelah hampir 19 bulan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan BN, jawatankuasa pemandu Bersih masih belum melihat kerajaan  memenuhi janji Teras 2 manifesto untuk mereformasi institusi dan struktur politik negara ini.

“Bersih 2.0 sedia maklum bahawa kerajaan PH telah membawa era baharu untuk
kebebasan, kedaulatan undang-undang, libat urus dan akses awam semenjak mengambilalih kerajaan. M

Media menjadi lebih bebas dan ada lebih toleransi terhadap suara yang kritikal daripada kerajaan dan gerakan sivil. Sejauh pemerhatian kami, institusi seperti judisiari, SPRM dan SPR berfungsi dengan lebih bebas daripada campurtangan eksekutif.

“Dengan penubuhan 10 Jawatankuasa Khas Parlimen, Parlimen sedang mengalami reformasi dalaman yang memperkasakannya untuk berkhidmat sebagai badan semak dan imbang yang berkesan kepada Eksekutif. Melalui pembentukan jawatankuasa khas seperti Majlis Penasihat Kerajaan, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, dan Jawatankuasa Pembaharuan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, kerajaan PH sedang mendepa tangan kepada maklum balas dan libat urus orang ramai untuk sektor yang memerlukan
reformasi.

“Walaupun kebebasan baru ini, pengasingan kuasa dan keterbukaan sangat dialu-alukan, namun ianya masih tidak cukup melainkan pindaan undang-undang dibuat dan reformasi ini diinstitusikan.

” Undang-undang baharu juga diperlukan untuk mengukuhkan institusi dan
pentadbiran negara, serta sesetengah undang-undang perlu dimansuhkan. Namun
reformasi struktur ini tidak akan berjaya sekiranya kestabilan politik tidak dikembalikan oleh kerajaan PH yang mencadangkan dan menjanjikan agenda reformasi kepada negara.

“Sebarang konfigurasi semula oleh parti pemerintah akan mencairkan agenda reformasi atauv langsung membatalkannya dan perkara ini perlu ditolak. Orang ramai mengundi untuk kerajaan baharu dan perubahan berdasarkan janji dalam manifesto PH, dan sebarang untuk melarikan diri daripada reformasi akan mengkhianati kehendak rakyat,” terang kenyataan itu.