Malaysia Dateline

Bersih 2.0 gesa bubar Parlimen

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menggesa Perdana Menteri (PM) Interim agar memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen Ke-14 jika polemik politik masih tidak dirungkai.

Menurut kenyataan Bersih 2.0 hari ini, kebuntuan politik tersebut adalah dari segi ketiadaan ahli parlimen yang mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

“Jika kebuntuan itu tidak dirungkai dengan kadar segera, kami menggesa PM Interim (Tun Dr Mahathir) untuk memohon kepada Agong supaya membubarkan Parlimen.

“Sekali gus mengembalikan kepada rakyat untuk memberi mandat baharu kepada kerajaan yang dipilih oleh mereka sendiri,” katanya.

Dalam isu sama, Bersih 2.0 juga berpendapat pilihan raya mengejut bukanlah sesuai yang wajar diadakan pada ketika ini.

“Sekarang ini juga bukanlah masa yang sesuai untuk pilihan raya mengejut kerana melihatkan kepada fakta bahawa adanya kerosakan struktur yang teruk terhadap pembahagian dan ‘gerrymandering’ daripada PRU-14 yang bukan sahaja berada dalam sempadan pilihan raya kita, malah ianya membarah dengan semakin teruk.

“Isu lain adalah penurunan had mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik masih belum dilaksanakan, dan pilihan raya ini akan mengetepikan hampir 5 juta pemilih yang berpotensi.

“Namun sebagai negara, kita tidak mampu untuk mempunyai kerajaan yang tidak berfungsi apabila kita sedang menghadapi cabaran ribut ekonomi dan pilihan raya mengejut adalah mudarat yang lebih kecil,” ujarnya lagi.