Malaysia Dateline

Bersih 2.0 gesa sidang Parlimen Khas laksana undi percaya terhadap Muhyiddin

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa satu sidang khas Parlimen bagi memuktamadkan persoalan sama ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin yang baharu mengangkat sumpah mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataan hari ini berkata, adalah sangat penting krisis politik dengan ketidaktentuannya diselesaikan secepat yang mungkin.

“Bagi rakyat, sidang khas Parlimen akan mendedahkan dengan jelas bagaimana pengundian Ahli Parlimen(MP) dan samaada ianya masih selari dengan harapan mereka semasa mereka mengundi di PRU14. Pengundilah yang meletakkan mereka di Dewan Rakyat dan mereka mempunyai hak untuk melihat sendiri di mana MP mereka akan berpihak.

“Bersih 2.0 menggesa rakyat untuk berhubung dengan MP mereka bagi mengetahui siapa yang akan mereka pilih dalam undi percaya di Parlimen.

“Sekiranya sidang khas Parlimen tidak dipanggil, maka undi percaya perlu diusul sesegera mungkin apabila sidang seterusnya berlangsung pada 9 Mac 2020,” ujarnya kenyataan.

Bersih 2.0 juga berkata, sekiranya Muhyiddin kalah dalam undi percaya, beliau harus meletak jawatan dan Yang Di Pertuan Agong, mempunyai prerogatif untuk melantik orang lain yang mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan atau membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum.

Bersih 2.0 dalam kenyataannya juga mengulangi pendirian menentang sebarang bentuk kerajaan pintu belakang, sehingga undi percaya dibuat, ketidaktentuan ini akan berterusan dan memanjangkan krisis tersebut.

Semalam Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima watikah dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 atas perkenan  Yang Dipertuan Agong  selepas berlaku krisis kepimpinan di bawah kerajaan Pakatan Harapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 dan  tindakan  Bersatu keluar  gabungan menyertai Muafakat Nasional.

Sidang Parlimen  dijadual akan diadakan pada 9 Mac ini.