Malaysia Dateline

Bersih 2.0 persoal Rina Harun beri geran menjelang PRK Tanjung Piai

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tampil mempersoalkan tindakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang membuat kunjungan kementerian di Parlimen Tanjung Piai pada Selasa lalu dan memberikan geran kepada Jawatankuasa Pengurusan di sana.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, pihaknya merasa kecewa kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai Kerajaan Persekutuan apabila bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Meskipun undang-undang yang ada masih belum menjadikan perbuatan tersebut sebagai satu kesalahan untuk kerajaan menggunakan kedudukan dan sumber kerajaan untuk berkempen bagi parti politik mereka, namun ianya bercanggah dengan prinsip pilihan raya.
“Prinsip pilihan raya adalah adil dan bersih, apabila tidak ada pemisahan antara peranan kerajaan dan tugas parti dalam kempen pilihan raya. Kami menyeru kerajaan PH untuk meletakkan standard yang tinggi  bagi etika pilihan raya dan mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta undang-undang lain yang berkaitan.
“Bersih 2.0, bersama-sama Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya(ERC) kini sedang membuat semakan yang menyeluruh terhadap undang-undang pilihan raya sedia ada.
“Ia bertujuan memperjelaskan beberapa kesalahan, untuk memasukkan beberapa pertimbangan yang baru dan memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam penguatkuasaan undang-undang pilihan raya, kata Jawatankuasa Pemandunya dalam satu kenyataan.
Memetik laporan media tempatan, Selasa lalu Rina yang juga Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berada di Kukup, Pontian untuk majlis penyerahan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi.
Bagi Parlimen Tanjung Piai, Rina berkata sebanyak 23 permohonan geran MPKK sudah diluluskan dengan peruntukan RM230,000.
Dalam perkembangan sama, Bersih 2.0 sedar bahawa ketika PRK, fungsi kerajaan perlu diteruskan kerana ianya tidak realistik untuk berhenti setiap kali adanya PRK.
“Namun, kami mahu mencadangkan garis panduan berikut bagi memastikan padang permainan yang sama rata bagi semua parti yang bertanding dalam PRK.
“Sehingga cadangan ini menjadi undang-undang, kami menggesa semua parti untuk memantau undang-undang yang sedia ada serta prinsip pilihan raya yang bebas dan adil.
“Ia agar para pengundi dapat membuat pilihan yang bermaklumat berdasarkan isu yang penting bagi mereka serta kawasan mereka, bukannya kerana takut atau tekanan yang tidak munasabah dikenakan kepada mereka,” katanya lagi.
Lima cadangan dinyatakan dalam kenyataan tersebut iaitu:
1. Lawatan dan majlis rasmi kementerian ke kawasan yang akan menghadapi PRK perlu dihentikan sebaik Speaker Dewan Rakyat atau DUN mengisytiharkan kekosongan kerusi.
2. Tidak ada sumber kerajaan seperti dana awam, staf dan kenderaan boleh digerakkan oleh Menteri dan Timbalan Menteri yang sedang berkempen sebagai pemimpin parti, dengan pengecualian terhadap kenderaan khas serta anggota keselamatan khas untuk keselamatan mereka.
3. Sekiranya pesawat kerajaan, helikopter atau bot yang digunakan untuk perjalanan ke kawasan PRK, kos kos yang setara untuk menyewakan apa-apa kenderaan dari entiti persendirian perlu dibayar kepada Perbendaharaan.
4. Sebarang peruntukan baru, pengumuman projek atau bantuan tidak boleh diberikan eksklusif kepada kawasan PRK sahaja, tetapi perlu diberikan ke seluruh negara atau negeri.
5. Janji bersyarat yang berbentuk material atau wujudnya pertimbangan yang berharga yang bergantung kepada kemenangan calon, terutamanya parti kerajaan, boleh dianggap sebagai satu bentuk rasuah, di mana ianya adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.