Malaysia Dateline

Logo Bersih

Bersih 2.0 sanggup bayar denda RM1,000 demi pendedahan laporan persempadan 2017 Sabah

 

Bersih 2.0 akan mendedahkan laporan persempadanan 2017 Sabah secara atas talian dan menawarkan untuk membayar denda RM1,000 kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana melanggar embargo Parlimen.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, laporan tersebut dibentangkan pada 8 Julai lalu dan dijadualkan untuk perbahasan serta undian pada sidang Dewan Rakyat esok.

Katanya, masyarakat perlu dimaklumkan mengenai kandungan laporan tersebut, sebelum ahli parlimen membuat undian.

“Justeru, kami tidak ada pilihan lain, melainkan terpaksa melanggar Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dengan mendedahkan keseluruhan laporan ini.

“Kami menekankan, persempadanan adalah satu keperluan kepada Sabah dan negeri-negeri lain, justeru harus dimulakan sebaik sahaja penurunan umur mengundi dan pendaftaran automatik.

“Bersih 2.0 melahirkan rasa kecewa bahawa seruan penarikan embargo yang dibuat oleh Bersih 2.0 telah diabaikan, dan ini menyebabkan orang ramai tidak sedar dengan kepentingan keputusan yang akan dibuat nanti, kerana tidak ada media yang dapat melaporkan laporan tersebut.

“Bersih 2.0 menyeru semua media dan pengguna media sosial untuk kongsikan pautan yang memgandungi salinan imbasan laporan ini supaya ia boleh dimuat-turun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 turut menggesa Kerajaan Negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah ini dengan berjanji untuk meminda perlembagaan negeri, bagi meningkatkan bilangan kerusi dengan satu atau lebih setelah adanya penambahan bilangan pengundi.

“Bersih 2.0 mengulangi seruan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan perbahasan dan pengundian esok, serta menggesa kesemua Ahli Parlimen dari Sabah dan Labuan untuk mengundi menentang usul ini atau pun tidak mengundi sekiranya perbahasan diteruskan.

“Bersih 2.0 juga berpendapat, laungan ‘Malaysia Baharu’ adalah kosong sekiranya perkara yang maha penting disembunyikan daripada pengetahuan umum sebelum keputusan dibuat.

“Oleh itu Bersih 2.0 bersedia menanggung tanggungjawab untuk melanggar embargo. Wang berjumlah RM1,000, denda maksimum di bawah Akta Majlis Parlimen, akan dihantar ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini,” katanya lagi.