Bersih 2.0 selar SPRM lakukan dakwaan terpilih  terhadap Lim Guan Eng

Bersih 2.0 selar SPRM lakukan dakwaan terpilih terhadap Lim Guan Eng

Bersih 2.0 menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam sebagai satu pendakwaan terpilih, justeru tidak menonjolkan integriti yang sepatutnya dipegang teguh oleh SPRM.

Dalam satu kenyataan, organisasi itu berkata bahawa cara siasatan terhadap Setiausaha Agung DAP dan penahanan beliau adalah jauh lebih drastik daripada kes-kes lain, termasuk skandal 1MDB dan pemindahan wang RM2.67 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Siasatan ke ke atas kes-kes berkenaan masih belum selesai walaupun sudah lebih dari dua tahun,” kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan semalam seperti dipetik.

Malah, kumpulan pemerhati pilihan raya itu mendakwa, penahanan Guan Eng dan kehadiran polis yang “menakut-nakutkan dan berat” di Komtar semalam adalah tidak wajar memandangkan beliau telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM ke atasnya.

“Kami turut mempunyai kebimbangan serius terhadap penangkapan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

“SPRM boleh sahaja mengeluarkan perintah untuk Ketua Menteri dan Phang untuk hadir di mahkamah tanpa perlu menahan mereka sedemikian rupa,” jelasnya.

Pada masa sama, Bersih 2.0 menggesa badan kehakiman memaparkan kebebasan dan integriti penuh semasa berurusan dengan kes tersebut agar keadilan dapat diperolehi oleh semua pihak.

“Kenyataan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa penahanan Guan Eng itu menunjukkan DAP tidak bersih adalah tidak relevan memandangkan beliau telah menilai kes itu secara individu sebelum ia dibicarakan,” katanya.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini dengan jaminan berjumlah RM1 juta setelah didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk pengurusan kes.

COMMENTS

Wordpress (0)