Malaysia Dateline

BERSIH gesa bekas-bekas menteri GPS henti gunakan sumber kerajaan untuk berkempen

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa agar Ketua Menteri sementara Tan Sri Abang Johari untuk segera hentikan penggunaan kedudukan untuk berkempen dengan membuat pengumuman projek atau peruntukan, merasmikan acara-acara kerajaan dan menandatangani memorandum kesefahaman (MoU) kerajaan negeri untuk sebarang projek.

Gesaan ini juga termasuk kepada bekas-bekas menteri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak (PRN Sarawak).

Malah, Setiausaha kerajaan negeri Sarawak juga perlu segera keluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan negeri untuk melarang mereka membantu kempen GPS dengan menggunakan jentera dan sumber kerajaan negeri termasuklah penggunaan media cetak dan media sosial milik kerajaan.

“Walaupun dalam undang-undang termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya masih belum meliputi isu tatacara Kerajaan Sementara, namun penggunaan jentera dan sumber kerajaan termasuk pengumuman-pengumuman oleh kerajaan sementara adalah melanggar konvensyen kerajaan sementara seperti Deklarasi Kesatuan Parlimen Antarabangsa (Inter-Parliamentary Union: IPU).

“Ia jelas menyatakan kerajaan perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memisahkan peranan parti dan kerajaan, serta Perkara 11 Deklarasi Bangkok yang menyatakan sumber kerajaan yang digunakan untuk mempromosikan kepentingan politik semasa pilihan raya akan menyebabkan proses pilihan raya menjadi tidak adil dan kesahan keputusan pilihan raya boleh dipertikai, ” kata kenyataan Pemantau Bersih dalam satu kenyataan di Kuching.

Hasil pemerhatian pasukan Pemantau BERSIH di Sarawak, kata kenyataan itu telah mendapati bahawa terlalu banyak salah guna jentera dan sumber kerajaan dilakukan oleh bekas-bekas menteri dan ketua menteri sementara untuk kepentingan politik mereka.

“GPS tanpa segan dan malu menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, malah kerajaan persekutuan juga masih menjemput ketua menteri sementara untuk menghadiri majlis-majlis kerajaan persekutuan.

“Sebagai contoh, pada 12 Disember 2021, calon GPS bagi N26 Gedong iaitu Abang Johari yang juga merupakan Ketua Menteri sementara Sarawak telah melancarkan Majlis Pelancaran Gedong Sebagai Daerah(1).

“Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion. Majlis yang dianjurkan oleh kerajaan negeri ini secara jelas telah menjadi platform berkempen untuk calon N26 Gedong dan merupakan salah guna sumber kerajaan untuk berkempen bagi kepentingan parti serta calon tertentu.

“Selain itu, pada 30 November 2021, Ketua Menteri sementara Abang Johari juga telah mengumumkan yang Kerajaan Negeri Sarawak akan melancarkan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri bagi tujuan pelancongan dan pertanian semasa merasmikan majlis pecah tanah Lapangan Terbang Bebuling yang dijangka siap pada 2023 dengan nilai anggaran RM108.1 juta.

“Dengan demikian, pengumuman sebegini akan mengikat parti atau gabungan parti politik selepas ini yang akan menjadi kerajaan negeri Sarawak,” tegas kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, kata kenyataan itu calon-calon yang merupakan penyandang kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga masih ada yang menyampaikan geran kerajaan kepada ketua-ketua masyarakat.

“Contohnya, penyandang kerusi DUN N31 Bukit Begunan dan masih bertanding sebagai calon, telah menyampaikan geran kerajaan yang berjumlah RM50,000(3). Malah geran yang disampaikan itu dibuat di Bilik Gerakan GPS Bukit Begunan dan disertakan sekali penyerahan GPS. Ini terang-terangan kesalahan rasuah dan beli undi oleh kerajaan negeri.

“Begitu juga jentera kerajaan negeri seperti laman-laman media sosial juga telah digunakan sebagai platform untuk menyalurkan kempen-kempen pilihan raya oleh parti GPS.

“Justeru, kami mendapati laman Facebook dan laman web kerajaan negeri seperti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Ketua Menteri telah digunakan untuk berkempen bagi GPS.

“Program-program dan pengumuman oleh Ketua Menteri sementara dan bekas-bekas menteri masih lagi dinaikkan di kiriman-kiriman media sosial(4) dan laman web UKAS(5),” jelasnya.

Sehubungan itu, BERSIH mengingatkan bahawa pilihan raya perlu bersih dan adil agar semua calon dan parti politik dapat berkempen di atas padang yang sama rata.

Kata kenyataan itu, penggunaan jentera dan sumber kerajaan untuk berkempen adalah sama sekali tidak wajar kerana ia menggunakan wang rakyat untuk berkempen bagi kepentingan sesetengah calon dan parti politik sahaja.

“Sepatutnya selepas pembubaran DUN, Setiausaha Kerajaan Negeri perlu mengeluarkan arahan untuk melarang penggunaan sumber dan jentera kerajaan oleh mana-mana parti terutama parti penyandang kerajaan.

“BERSIH juga menggesa agar SPR untuk bertindak dengan lebih proaktif dan tegas bagi menangani isu salah guna jentera kerajaan serta memastikan kempen berjalan dengan lebih bersih dan adil”, ” tambah kenyataan itu.