Malaysia Dateline

Bersih, Patriot gesa SPR lanjutkan waktu mengundi, ramai masih beratur

logo Bersih B
Bersih minta waktu pembuangan undi dilanjutkan.

Bersih menggesa SPR memanjangkan masa mengundi agar semua pengundi yang sudah memasuki pusat mengundi sebelum pukul 5.00 petang dibenarkan mengundi.

Dalam kenyataan itu, Bersih berkata pihaknya mendapat banyak laporan dari merata tempat tentang kesesakkan yang sedang berlangsung di tempat mengundi.

Desakan yang sama dibuat oleh Persatuan Patriot Kebangsaan agar masa mengundi dilanjutkan.

Patriot menerima banyak maklumat bahawa pengundi masuk panjang beratur ketika jam 3.30 tadi.

“Patriot memohon SPR agar membuat tindakan yang betul iaitu menambah waktu mengundi sehingga jam 6 petang,” kata BG (B) Datuk Mohd Arshad Raji, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan.

Bersih juga menyeru semua rakyat Malaysia yang belum membuang undi untuk segera ke pusat mengundi.

“Sila pastikan anda memasuki perkarangan pusat mengundi sebelum jam 5 petang dan jangan beredar dari kawasan tersebut selagi anda tidak mengundi.

“Mengikut seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, pegawai-pegawai SPR akan melakukan kesalahan undang-undang jika pengundi yang berhak mengundi di mana-mana bahagian pilihan raya dinafikan hak mereka untuk mengundi.

“Kami menyeru semua rakyat untuk berada di pusat mengundi untuk memberi sokongan kepada mereka yang sedang beratur tetapi belum mengundi,” katanya.

Sehingga jam 2 petang tadi, baru 62% membuang undi untuk PRU 14 ini.

Menurut kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE), PH memerlukan 85% keluar mengundi untuk menang pilihan raya kali ini.