Malaysia Dateline

Wan Saiful Wan Jan

Bersihkan usahawan kroni dan alibaba

Dasar kerajaan mengenai kontraktor perlu diperketatkan dengan melakukan pembersihan usahawan palsu yang dahulunya mendapat projek atas asar kroni dan alibaba.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, sebelum ini kontraktor mendapat kontrak bukan kerana kelayakan mereka tetapi mereka mendapat projek kerana kroni Umno dan alibaba.

“Saya yakin mereka masih wujud dengan meluas kerana mereka dimasukkan dalam senarai oleh menteri-menteri terdahulu, dan masih tiada pembersihan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibatnya, kata beliau, jika berlaku belian terus atau jemputan sebut harga terutama untuk kontrak-kontrak kecil, hanya kroni-kroni UMNO ini yang bersaing sesama mereka, kerana hanya mereka yang ada dalam senarai sekarang.

Katanya, dari segi kelayakan mereka hanyalah kroni Umno sahaja justeru,

kerajaan perlu segera membersihkan kroni-kroni Umno ini agar usahawan tulen yang disisihkan sebelum ini dapat bersaing secara sihat.

“Kita telah memasuki era baru, dan usahawan Melayu yang tulen memang ramai yang boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Apa yang perlu ialah memastikan wujudnya peluang sama rata kepada semua usahawan tulen agar wujud persaingan sihat, dan dikeluarkan usahawan palsu. Pembolotan kekayaan negara oleh kroni-kroni UMNO semua peringkat haruslah dihentikan,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir bersama Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Yusof dalam Konvensyen Usahawan Bumiputera Kedah, di Alor Setar 25 Oktober baru-baru ini.

Pelbagai isu ditimbulkan oleh hampir seribu usahawan-usahawan yang hadir, antara yang menarik perhatian beliau mengenai dasar kerajaan terhadap usahawan Bumiputera yang disuarakan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah Noordin Md Safar yang menggesa kerajaan memperketatkan pemberian kontrak kepada kontraktor Bumiputera.