Malaysia Dateline

Mohamed Hanipa Maidin

Bersikap adillah, beri sokongan kepada PM pulihkan negara

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin menyeru semua pihak supaya bersikap adil dan berikan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memulihkan negara.

Beliau berkata demikian ekoran begitu banyak kritikan yang ditujukan kepada Perdana Menteri yang sebahagian besarnya dirasakan bersifat tidak adil.

“Saya boleh terima bahawa YAB PM bukan insan sempurna dan sebagai insan biasa, beliau boleh terdedah kepada kelemahan dan kesilapan di sini sana. After all, siapa yang tidak selain para Rasul yang maksum?” tulis Ahli Parlimen Sepang itu dalam Facebooknya semalam.

Kata Hanipa, menurut pandangannya, Tun Mahathir mempunyai segala kemewahan pilihan untuk menolak jawatan Perdana Menteri tetapi beliau mengambil pilihan untuk menerima jawatan tersebut kerana beliau (PM) mencintai Malaysia.

“YAB PM, bagi saya, mahu bawa semula negara bertuah Malaysia ini dihormati dan disegani oleh warga dunia ini dan mungkin lebih dari itu. Cara beliau bekerja, bagi saya, adalah bukti kuat kepada apa yang saya katakan itu. Setakat ini, saya mungkin tidak pernah lagi melihat individu yang bekerja sekuat Perdana Menteri, lebih-lebih lagi mengambil kira usia Tun. Kadangkala saya cuba nak ikut cara beliau bekerja.. I have to confess… tak mampu,” kata beliau.

Kata beliau lagi, berdasarkan pengalaman bermesyuarat dengan Tun Mahathir hampir setiap minggu beliau dapati Tun Mahathir tidak pernah membuang masa dan mempunyai disiplin yang sangat tinggi.

Tambahnya, ada orang mengatakan Tun Mahathir seorang yang keras tetapi bagi beliau ia tidak sama sekali.

Tun Mahathir kata beliau, seorang pendengar yang tekun apabila seseorang bercakap, malah beliau tidak akan mencelah biarpun beliau tidak bersetuju.

Jelas Hanipa, Perdana Menteri bekerja sangat kuat untuk memulihkan negara ini, yang telah dirosakkan dengan teruk oleh rejim terdahulu.

Sehubungan itu katanya, semua pihak seharusnya menyokong usaha Perdana Menteri itu.

“Di sini saya juga harus puji Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan YAB TPM dan juga ramai pemimpin veteran PH seperti YB Lim Kit Siang, YB TS Muhyiddin, YB KM Sabah, YB Mohd Sabu dan lain lain, yang bagi saya, amat memahami perkara ini,” katanya.