Malaysia Dateline

Bersoladiriti bersama Tok Abah

Solidariti buat Tok Abah atau nama sebenar Haji Rosli bin Datuk Haji Kamsan yang ditangkap oleh pihak polis baru-baru ini atas tularnya sebuah video mengkritik Menteri Besar Kedah YAB Sanusi Md Noor kerana membuat lawak jenaka berkaitan kontena menempatkan mangsa Covid-19.

Tok Abah menceritakan detik-detik tangkapan tersebut “dalam pukul 3.15 pagi, time tu saya sedang tidur, saya terdengar bunyi jeritan di luar rumah, saya bangun dan membuka pintu dan dimaklumkan mereka aggota polis”.

Anggota polis yang datang dari Kedah kemudian menangkapnya dan dibawa ke Kedah. Tok Abah juga menceritakan beliau hanya sempat bersolat Subuh di dalam kenderaan yang membawanya dari Seremban ke Kedah.

Dalam proses reman, permohonan pihak polis telah ditolak dan beliau dibebaskan setelah kenyataan beliau direkodkan pihak polis. Pada malam tersebut, Tok Abah telah pulang ke Seremban dengan menaiki bas.

Mendengar cerita Tok Abah, saya tertanya-tanya, kenapa perlu seorang bekas tentera diperlakukan sedemikian rupa. Lupakah kita kepada jasa wira negara seperti Tok Abah sehingga ditangkap, sedangkan dalam keadaan biasa, kenyataan beliau boleh direkodkan di Seremban tanpa perlu ditangkap.

Negara kita negara demokratik, bukan ‘police state’. Undang-undang dibuat untuk melindungi rakyat, dan seharusnya rakyat dilayan sama-rata supaya tiada lagi rungutan tentang ‘layanan dua darjat’.

Saya juga telah meneliti dan mendengar video tersebut beberapa kali dan tidak menghidu sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan beliau.

Namun, tangkapan yang dibuat ke atas Tok Abah sesuatu yang menyedihkan seolah-olah ruang kebebasan bersuara yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ditutup dalam negara ini.

Saya mewakili Kanun (Parti Amanah Negara) telah menawarkan khidmat guaman kepada beliau. Semoga Tok Abah diberikan kekuatan berhadapan kezaliman dan penganiayaan yang berlaku.

Tok Abah juga sempat berkata kepada saya “jangan perkecilkan suara rakyat, suara keramat ini”.

Saya merasakan kata-kata Tok Abah ini sebagai satu pengajaran berguna kepada saya dalam
berpolitik kerana kuasa adalah amanah rakyat.


Tulisan ini adalah catatan penulis di facebook beliau.