Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Agama, Ustaz Ali Muda menegaskan kerajaan tidak pernah berdiam diri terhadap penentangan atau penghinaan terhadap Islam oleh orang bukan Islam.
Menurutnya, kerajaan telah menubuhkan Unit Pemantau Hina Agama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 7 Mac lalu dengan menerima lebih 14,857 kes daripada 2,671 pengadu setakat 1 April.
“Setelah disaring, 53 aduan adalah berasas dan ia diserahkan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk tindakan lanjut.
“Tindakan mendakwa di mahkamah di bawah Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah dijalankan terhadap tujuh orang kena tuduh dan empat daripada mereka telah dijatuhkan hukum,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ustaz Ali menafikan dakwaan kononnya kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap penghinaan Islam.
“Kita hendaklah bersuara secara rasional, bukan membalas cacian dengan cacian, makian dengan makian.
“Kita bersuara dan tidak berdiam diri terhadap penghinaan agama, tetapi kita bersuara menurut lunas undang-undang yang ada, bukan bertempik atau berteriak seperti pembangkang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta ketika menyampaikan syarahan, “Rahmatan Lil ‘Alamin Dalam Konteks Masyarakat Majmuk” di Seminar Islam Rahmatan Lil ‘Alamin dan Rapat Umum Maqasid Syariah di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi baru-baru ini.
Berbuat ihsan
Sementara itu, berhubung soalan tentang sikap keras terhadap golongan kafir, Ustaz Ali berkata, maksud kafir yang memusuhi Islam adalah seperti dinyatakan dalam ayat 9, Surah al-Mumtahanah yang menekankan konteks ‘telah’.
“Iaitu orang kafir yang telah memerangi umat Islam kerana agama, telah menghalau umat Islam dari rumah-rumah atau kampung halaman mereka dan telah berkomplot untuk menghalau orang Islam dari tanah mereka.
“Sekiranya ‘keras terhadap orang kafir’ itu diberikan maksud ‘keras terhadap semua orang kafir atau non Muslim’, sudah tentu ayat itu akan bertembung dengan 8 Surah al-Mumtahanah yang memberitahu Allah S.W.T sangat suka kepada orang yang melakukan keadilan terhadap orang kafir yang tidak memusuhi Islam, tidak menghalau orang Islam dari kampung halaman atau negeri mereka,” jelasnya.
Justeru, Ustaz Ali menasihatkan agar ayat-ayat al-Quran dan hadis hendaklah dibaca secara bersepadu seperti bacaan terhadap undang-undang.
“Tidak harus satu ayat dipisahkan daripada ayat yang lain untuk dibuat kesimpulan atau hukum.
Jadi, Rahmatan Lil Alamin membawa maksud berbuat baik dan ihsan kepada semua manusia termasuk orang bukan Islam. Hanya orang bukan Islam yang telah memerangi umat Islam secara fizikal sahaja yang diharamkan kita berbuat baik dengan mereka.
“Semua orang bukan Islam di Malaysia adalah termasuk dalam kategori dzimmi (warganegara non Muslim) atau mu’ahid (orang asing yang diberi jaminan keselamatan oleh pemerintah). Mereka bukan harbi yang halal darah dan hartanya,” tambahnya lagi.