Malaysia Dateline

Bertadarus hayati keindahan al-Quran bukan kejar khatam

Bacalah apa yang mudah daripada al-Quran. Usah menyusahkan diri. Paling utama, konsisten dan hayati.

Jika dapat dikhatam al-Quran memang bagus. Nabi bertadarus dengan Jibril dan khatam pada setiap Ramadhan.

Tadarus maksudnya, Jibril baca Nabi dengar dan Nabi baca Jibril dengar.

Tadarus al-Quran Whatsapp sebenarnya apa? Siapa baca siapa dengar? Dirakam dan dikongsi dalam grup Whatsapp? Untuk apa?

Tidak perlu berbangga dengan, “Ana dah khatam”. Apa istimewanya ungkapan, “Ana dah dua kali khatam?” Untuk apa?

Tujuan tadarus adalah tadabbur. Ketika kita membaca, orang lain dengar, jika salah dapat dibetulkan.

Kita dengar orang lain baca untuk kita hayati bacaannya dan tiru jika bacaannya baik.

Tadarus mengelakkan kejemuan berbanding membaca berseorangan. Bertadarus adalah sunnah.

Oh, malu dengan kawan-kawan. Nanti kawan-kawan tanya, “Dah berapa kali khatam?” Kalau belum khatam kenapa, malu?

Baca al-Quran untuk kawan atau untuk Tuhan? Baca al-Quran bermaksud berbicara dengan Tuhan, bermadu kasih dengan-Nya.

Bacalah al-Quran perlahan-lahan. Usah dikejar khatam. Hayatilah keindahannya. Tekunilah perintah dan larang-Nya.

Jika tidak sempat khatam pada Ramadhan, sambunglah selepas Ramadhan. Apa salahnya?

Jika bahagi-bahagikan juzuk dalam grup WhatsApp, kemudian masing-masing baca, lepas itu beritahu kawan, “Done, khatam”. Untuk apa?

Siapa yang khatam? Apa yang dikhatam? Baca untuk khatam atau untuk ambil hidayah?

Agama ini indah jika dihayati. Tapi jika agama menjadi bahan mencari nama, keindahannya akan sirna.

Jom hayati al-Quran, bukan kejar khatam.

* Penulis adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional.