Toyota Vellfire merupakan MPV mewah yang bukan sahaja menjadi pilihan golongan T20, bahkan golongan VVIP di negara kita kebanyakannya lebih memilih kenderaan mewah ini.
Untuk rekod, harga Toyota Vellfire bermula dari harga RM300,000. Ada yang menganggap memiliki Vellfire adalah lambang kejayaan dan kekayaan.
Namun, seperti dikongsi seorang pengguna TikTok, Fairus Mohd Tabiee atau brofairuschannel, dia memiliki pandangan sebaliknya tentang pemilikan MPV mewah ini.
Menurutnya, sewa Vellfire adalah lebih berbaloi berbanding beli kenderaan itu. Kenapa pula begitu? Kami kongsikan pandangan penuh pemuda itu;
Bawa Vellfire balik kampung dengan ahli keluarga tu memang seronok. Kereta besar, selesa, anak-anak seronok dan boleh punggah banyak barang. Ini adalah MPV terbaik kegilaan ramai orang. Siapa yang dah pakai Vellfire, susah nak down grade ke MPV lain.
Aku juga pemilik kenderaan ini. Beberapa bulan lepas, aku jumpa seorang sahabat. Umurnya sudah lebih 50 tahun. Pelaburan beliau merata tempat.
Beliau adalah orang yang berjaya, namun hidup low profile. Duduk rumah pun pendapatan beratus ribu sebulan. Jangan risau, beliau bukan trader forex.
Beliau telah kongsikan sesuatu yang menyebabkan aku berfikir panjang. Padahal benda itu aku dah sedar lama, cuma aku tak jumpa orang yang praktikkannya lagi. Bila sahabat aku yang jauh lebih berjaya dari aku buat benda ini, menung juga aku sekejap.
Katanya: “Matematik tidak pernah menipu kita. Ilmu matematik ada banyak dalam al-Quran. Cuma kau gunakan ilmu ini untuk hidup, atau kau gunakan ilmu ini untuk nafsu”.
1. Jika kita beli Vellfire recond 2.5CC 2019 harganya sekitar RM250,000 waktu ini.
RM3,000 sebulan pinjaman (RM36,000 setahun).
RM7,000 setahun insuran.
RM780 setahun cukai jalan.
RM400 purata maintanance (RM4,800 setahun)
Ini tidak termasuk upgrading, sport rim, sound system, ekzos dan sebagainya yang lazim dibuat oleh pemilik kenderaan lain.
Jumlah kos yang kita keluarkan setahun untuk memiliki sebuah kenderaan ini ialah RM48,580.
Jika kenderaan ini kita gunakan selama 9 tahun, kos keseluruhan adalah sebanyak RM437,220 (+/- harga insuran mengikut nilai kenderaan).
2. Kenderaan ini akhirnya akan out dated juga nanti dan pasti ada keluaran baru yang lebih menawan. Waktu itu jiwa kita meronta-ronta untuk memiliki keluaran baru pula. Itulah sifat manusia.
3. Secara purata, aku sendiri balik ke kampung 6 kali dalam setahun. Setiap kali balik, aku akan habiskan maksimum 4 hari menjadikan setahun hanya selama 24 hari.
4. Dalam setahun, purata aku bawa anak-anak berjalan jauh dan bermalam 2 kali dan rata-ratanya hanya 2 hari. Jadi aku gunakan Vellfire ini untuk bercuti bersama keluarga hanya 4 hari sahaja.
5. Keseluruhan penggunaan kenderaan Vellfire ini dalam lingkungan 28 hari dalam setahun. Selain dari itu, kenderaan ini hanya terletak di parkir dan tidak sesuai untuk kegunaan harian. Saiznya besar dan penggunaan petrol yang tidak ekonomi. Under utilize.
6. Waktu ini, Vellfire baru boleh disewa dengan kadar RM700 sehari. Untuk kegunaan selama 28 hari kita hanya perlu kos sewaan RM19,600 sahaja tanpa memikirkan keperluan baik pulih, cukai jalan, insurans, tayar dan sebagainya. Kita belanja hanya 40% sahaja berbanding memilikinya secara keseluruhan.
7. Bila aku debat hal ini, sahabat tadi ingatkan semula pada aku,
“Matlamat kau memandu Vellfire untuk apa? Kau dapat tak keselesaan yang kau mahukan tadi? Adakah perlu kau miliki?”.
Berfikir secara realistik itu sebenarnya mudah sahaja, tetapi berfikir dengan nafsu dan kehendak itu yang susah.
Banyak ilmu dan pengalaman yang aku belajar dari sahabat ini, kali ini aku mahu cuba praktikkannya sendiri.