Malaysia Dateline

Bertahun-tahun hadap jem teruk, trafik di Jalan Desa Kiara, Mont Kiara makin pulih

Keadaan trafik di sepanjang Jalan Desa Kiara, Mont Kiara yang dahulunya dilaporkan sentiasa mengalami kesesakan yang teruk, kini semakin membaik.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima aduan kesesakan lalu lintas secara berkala di sepanjang jalan berkenaan yang difahamkan telah berlaku selama bertahun-tahun.

Dilaporkan, pada waktu puncak kesesakan lalu lintas di Jalan Desa Kiara diburukkan lagi dengan masa yang tidak diselaraskan bagi kesemua tiga set lampu isyarat di Jalan Kiara, Jalan Kiara 3 dan 4.

Pejabat beliau kemudian mengadakan satu lawatan ke lapangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Penduduk Mont Kiara (MKREA) pada 12 April lalu untuk mencari penyelesaian bagaimana boleh menambah baik masa pada lampu isyarat di semua 3 simpang untuk memudahkan lalu lintas.

“Pejabat saya telah dimaklumkan tentang penambahbaikan masa lampu isyarat oleh DBKL pada 21 April.

“Menjelang 19 Mei, DBKL turut menambah papan tanda ‘Left Turn On Red’ yang menunjukkan pemandu yang menghala ke Jalan Desa Kiara dari Jalan Kiara 3, Jalan Kiara 4 dan Jalan Kiara, boleh menggunakannya apabila selamat untuk mereka berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 27 Jun pula, Yeoh memaklumkan pejabatnya telah menerima surat daripada DBKL yang menyatakan tindakan telah diambil dan mereka akan terus memantau keadaan lalu lintas di sepanjang Jalan Desa Kiara.

Menurut Yeoh, penambahbaikan ini telah memendekkan masa memandu di sepanjang Jalan Desa Kiara untuk penduduk Mont Kiara dan Hartamas.

“Masa yang dijimatkan setiap hari dalam lalu lintas adalah penting untuk penduduk kami.

“Saya ingin memuji kedua-dua DBKL dan MKREA atas usaha bersama mereka dalam menyelesaikan isu ini dan menggesa DBKL untuk terus melibatkan diri dengan masyarakat untuk memperbaiki keadaan lalu lintas di KL,” katanya lagi.

Baca juga: Kelantan enggan bina pawagam dilihat satu langkah regresif dan mundur