Malaysia Dateline

Bertasamuh, berkorban dalam kerangka besar grand coalition

Di musim uzur berpanjangan ini, saya cuba mengelak daripada terjebak dalam polemik politik yang tidak berkesudahan dan kadang-kadang cukup meletihkan; juga bersifat non-produktif.

Selain masa segar yang cukup terbatas, dengan rutin rawatan yang ketat, saya tidak mampu lagi untuk mengikuti dinamika politik dari dekat.

Ditambah kualiti penglihatan yang kian merosot — menyebabkan buku-buku tidak terusik di rak berhabuk — serta pergerakan fizikal yang terbatas.

Saya akui lebih ramai kawan-kawan Facebook yang curiga dan sangsi dengan Dr Mahathir Mphamad, Pejuang dan Warisan.

Sebahagian besar mereka itu menganggap Mahathir sebagai dalang atau arkitek kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (suatu tragedi yang amat dikesali pendukung pembaharuan), sekali gus berperanan sebagai “penyokong” Muhyiddin Yassin.

Malah, Mahathir dianggap “pengkhianat” dan diberi gelaran atau sindiran yang tidak manis didengar, apatah lagi dikaitkan dengan usia emasnya.

Saya ada pandangan tersendiri — yang tidak popular — terhadap runtuhnya kerajaan reformasi itu.

Mahathir berperanan besar dalam kejatuhan itu tetapi saya sama sekali tidak sependapat dengan dakwaan beliau terbabit dalam komplot jahat Langkah Sheraton.

Bagaimanapun saya sedar, masing-masing ada hujah dan alasan tersendiri, berdasarkan keyakinan dan sumber yang ada. (Atas asas itu, saya jarang sekali menjawab respons yang dilontarkan rakan-rakan FB. Ada kalanya emosi saya turut tercuit dengan bidasan liar itu tetapi saya tetap meraikan hak untuk meluahkan idea).

Saya hormati kepercayaan dan pendapat itu meskipun saya agak berbeda dengan mereka. Asasnya saya sentiasa tertarik dengan idea “grand coalition” dan memilih yang pendekatan nyata-praktikal daripada bermain dengan spekulasi andaian.

Prinsipnya kita — barisan pembangkang — berkongsi idea dan imaginasi tentang gagasan penubuhan kerajaan yang mesti dibentuk, atas landasan kukuh. Kita juga berdepan seteru politik yang sama, menentang pengkhianatan dan pembelotan.

Namun, kita tentunya mempunyai sumber yang berlainan, sesuai dengan latar belakang dan sejarah kita yang pelbagai. Sesungguhnya tidak mudah mengubah keyakinan atau kepercayaan seseorang. Ia dibentuk dan dipupuk sekian lama, menempuh liku-liku perjalanan yang panjang.

Pastinya ada cerita yang kita perolehi dan cenderung dengan sumber itu, tetapi berbeda pula dengan kisah yang diterima oleh orang lain atau rakan kita pula. Sumber yang dekat dengan kita amat terbatas sedangkan ia cukup pelbagai puncanya.

Justeru, kita nampak bersama tetapi terpisah dalam hal-hal lain. Namun, ia tidak menghalang satu gabungan besar dengan sikap saling berkorban dan bertasamuh.

Bukankah kepelbagaian itu satu rahmat dan penuh dengan keindahan? Demokrasi juga menyediakan aneka ragam keunikan. Maka. raikanlah perbedaan dan saling menghormati.

Cubalah berlapang dada dan berkepala dingin. Cuba sedaya mungkin berbaik sangka dengan sekutu. Dan lafazkan pendirian kita dalam bahasa yang baik.
Muslim yang baik amat berjaga-jaga dengan bicaranya. Sanggahlah hujah orang lain dengan tutur kata lebih baik yang difikirkan dahulu semasak-masaknya.

Jika mahu menegakkan pendapat di atas pentas polemik politik ini, rasanya kita tidak akan bertemu titik noktah. Kelak terlihat bagai percubaan menegakkan benang basah.

Dan kalaupun perdebatan atas satu-satu isu itu berakhir — misalnya dengan kematian tokoh terbabit — akan ada lagi perselisihan isu-isu lain nanti.

Justeru, saya tidaklah berhasrat untuk bermati-matian berperang hujah dalam polemik politik ini, apatah lagi jika ia sekadar bermain seputar tokoh-tokoh tertentu.

Ya, kita bukannya dari kelompok “walaun”, ‘kan? Malah, sebahagian kita mungkin benar boleh dikategorikan sebagai “pemberontak”!

Renungi sejarah penubuhan AMANAH dan PKR, serta rentetan panjang tribulasi dialami DAP. Ketiga-tiga parti reformasi ini telah membuktikan idealisme masing-masing.

Kembara panjang saya dalam kewartawanan siyasah ini juga mendedahkan setiap individu atau personaliti, biar nampak bagaimana hebat sekalipun, pasti ada sisi gelak, retak dan sumbingnya. Pasti ada kekurangan apatah lagi jika hadirnya dari lembah siyasah.

Kekaguman melampau kepada figura tertentu sentiasa dituruti penyesalan yang menatijahkan keburukan. Terimalah seseorang itu dengan pakej salah-silapnya.
Berpada-padalah dalam berpolitik. Malah orang politik sendiri selalu berpesan, lihatlah dengan mata hati yang jernih, dalam kerangka lebih besar! Yang penting, kejujuran dan setiakawan.