Bertatih dalam PAS, berlari dengan Amanah, kata tokoh anak muda

Bertatih dalam PAS, berlari dengan Amanah, kata tokoh anak muda

Terdedah dengan PAS sejak kecil lagi, parti lambang bulan penuh itu bukanlah asing baginya. Tidur bersama keluarga di merata markas PAS terutama di sekitar Muar sudah menjadi kelaziman. Namun, pada usia 22 tahun, Fadhli Umar Aminolhuda tekad memilih untuk ‘berlari’ dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda bekas pemimpin Persatuan Mahasiswa Undang-undang UIAM.Terdedah dengan PAS sejak kecil lagi, parti lambang bulan penuh itu bukanlah asing baginya. Tidur bersama keluarga di merata markas PAS terutama di sekitar Muar sudah menjadi kelaziman. Namun, pada usia 22 tahun, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda tekad memilih untuk ‘berlari’ dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurutnya, keputusan Muktamar Tahunan PAS 2015 lalu yang menyaksikan ‘penyingkiran borong’ sejumlah pimpinan berkaliber yang diketahui dan terbukti bekerja keras untuk parti dan demi keadilan rakyat amat menyentak akal budinya.

Tambah mengejutkan, ujarnya, apabila PAS membuat keputusan untuk berpatah arang, berkerat rotan dengan Pakatan Rakyat sehingga membawa kepada leburnya gabungan parti pembangkang paling ampuh menyergah keangkuhan dan status quo Umno-BN itu. 

“Saya begitu juga rakan-rakan yang sebahagian besar sudah diasuh dalam PAS sama ada pendedahan dalam keluarga atau pun ketika di kampus mulanya berhati-hati dengan situasi berlaku. Terpinga-pinga juga di mana makna pendekatan berhikmah dan rahmatan lil alamin yang disebut-sebut selama ini?

“Dalam isu penggantian Menteri Besar Selangor misalnya, kami masih lagi cuba berhujah menjustifikasikan tindakan PAS. Anggapan kami mesti ada rasional dan kepentingannya demi parti tetapi keputusan pemilihan dalam muktamar 2015 itu benar-benar mencelikkan kami akan ada hal tak kena sudah berlaku,” katanya ketika diwawancara Malaysia Dateline, 29 Disember lalu.

Menegaskan anak muda pada masa ini sudah terdedah kepada pertukaran pantas maklumat dengan kerencaman akses media, beliau berkata, mereka khususnya golongan mahasiswa telah dapat membezakan yang mana permata dan yang mana kaca.

“Hasil bacaan kami juga perkongsian pelbagai pihak dari media sosial, selepas disaring dan tapis, kami menghadami politik semasa tidak terkecuali realiti PAS selain kebobrokan rejim BN, akhirnya keputusan nekad dibuat untuk meneruskan perjuangan menentang kezaliman dan penindasan rejim melalui parti Amanah,” ujarnya.

Mengakui pengalaman politik ditempuhi ayahnya, Aminolhuda Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Parit Yaani, Muar, Johor banyak mencorakkan kesedaran siasahnya, Umar menganggap Amanah sebagai platform baharu yang meraikan suara anak muda.

“Maaf saya cakap, PAS selepas banyak tindakan dan keputusan dibuatnya itu mengecewakan ramai pihak. PAS yang lama berjasa pada perjuangan dan usaha rakyat menuntut keadilan sudah jadi terbelakang dengan mood dan hasrat massa untuk menumbangkan BN.

“Saya sendiri hadir siri jelajah pertama NGO Gerakan Harapan Baru (HB) di Bakri, Muar 16 Jun 2015 dan ketika itu saya sedar medan untuk meneruskan perjuangan termasuk semangat istiqomah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz adalah melalui sebuah wadah politik baharu bukan lagi melalui PAS.

“Tambah pula, apabila melihat rakan-rakan mahasiswa seperti Khairol Najib dan Ammar Atan diberikan satu medan yang boleh untuk kami penuntut ini memberi sumbangan secara terus kepada parti. Pendek kata, akal dan tenaga kami kami anak muda di universiti diiktiraf untuk sama-sama mencorakkan Amanah,” jelasnya yang sebelum ini tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam PAS.

Menjengah tahun baharu 2016, putera keempat daripada lima adik-beradik ini optimis melangkah bersama Amanah sebagai parti baharu berusia tiga bulan tetapi berlapang dada kepada suara anak muda.

Mengakui PAS mempunyai pemimpin yang tidak kurang berpengaruh dalam kalangan akar umbi sesuai dengan status parti senior, Amanah bagaimanapun baginya wadah terbaik memenuhi hasrat anak muda menyerlahkan keupayaan dan potensi diri masing-masing.

“Saya yakin Amanah memberi peluang kepada penuntut menyuarakan pandangan di landasan betul dan bergerak aktif dalam politik sihat. Apalagi sayap Pemuda Amanah Nasional majoritinya dianggotai golongan muda berusia kurang 35 tahun,” ujarnya ceria diwawancara petang itu.

Tanpa mahu mengguris hati sebahagian rakannya yang masih ingin istiqomah bersama PAS, penuntut jurusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini masih menghormati pilihan mereka.

“Bagi saya tiada masalah dengan pilihan mereka. Apa yang penting mahasiswa berani untuk bersuara menegakkan kebenaran dan keadilan.

“Perlu ada pendirian sebagai anak muda yang terpelajar. Tidak boleh diperkotak-katikkan apalagi sekadar mengangguk walaupun bercanggah dengan prinsip,” tegas anak kelahiran Johor Bahru ini.

BIRO MAHASISWA 

Fadhli Umar (berkemeja biru) ketika pelancaran Biro Mahasiswa Pemuda Amanah Nasional yang dirasmikan Presiden, Haji Mohammad Sabu, 19 Disember lalu.

Ditemani sahabat sepengajiannya, Sajdan Mujibullah, beliau yang diberi amanah sebagai Pengarah Hal Ehwal Mahasiswa Pemuda Amanah Nasional dilihat bersemangat menerangkan wawasan dan perkembangan awal Biro Mahasiswa.

Bekas Presiden Persatuan Pelajar Undang-undang UIAM ini memberitahu pendaftaran keahlian secara ‘online’ untuk biro berkenaan mendapat sambutan hangat selepas pelancarannya di Taman Universiti, Skudai, 19 Disember lalu.

“Ini termasuklah seorang mahasiswa Cina yang menuntut di United Kingdom. Anak muda mahasiswa mahasiswi yang mendaftar datang dari seluruh pelosok universiti tempatan dengan paling menggalakkan setakat ini adalah dari UIAM,” ujarnya.

Peduli dengan realiti semasa negara, Biro Mahasiswa telah melancarkan petisyen online membantah Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan sasaran 1,000 sokongan dari para penuntut.

“Alhamdulillah. Nampaknya, mahasiswa pelbagai kaum celik dengan petisyen online ini. Mereka sedar betapa bahayanya rang undang-undang itu. Dijangka Januari ini, kita akan hantar petisyen bantahan tersebut kepada Yang Dipertuan Agong.

“Reda musim peperiksaan pula, Biro Mahasiswa akan mengadakan bengkel kepada mereka yang sudah mendaftar berdasarkan tujuh tawaran kita kepada pelajar antaranya pendidikan politik, pemikiran falsafah dan maqasid syariah, latihan keusahawanan, kesukarelawanan dan kajian lapangan,” jelasnya.

Sambil menikmati juadah di Restoran Nasi Arab Al Amin Food Corner berdekatan Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood itu, Umar memberitahu tawaran Biro Mahasiswa kepada penuntut pengajian tinggi adalah berpaksikan maqasid syariah.

“Biro Mahasiswa mahu tampil ‘moderate’, bijaksana, berhemah dan inklusif. Kita ingin mensejajarkan kesedaran siasah dengan maqasid syariah selari dengan visi Amanah untuk melahirkan masyarakat dan negara madani yang adil, beramanah dan menjadi rahmat untuk semua,” ujarnya.

Beliau berkata, Biro Mahasiswa secara organisasinya di bawah seliaan Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ustaz Fakhrulrazi Mohd Mokhtar sebagai penasihat dengan mengambil kira situasi kesedaran dan tahap pendidikan politik dalam kalangan pelajar universiti.

Fadhli Umar ketika ditemubual Malaysia Dateline yakin Amanah wadah terbaik menampung hasrat anak muda dan mahasiswa.“Kalau kita perhatikan pada masa ini, bukan sedikit jumlah mahasiswa yang tidak mempedulikan politik walaupun sebenarnya keputusan atau dasar politik itu sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada mereka sendiri.

“Ada yang mahu menjatuhkan Najib dengan mengharapkan pada barisan pembangkang tapi pembangkang pula berpecah. Jadi konsep yang Biro Mahasiswa tawarkan ialah pentingnya mahasiswa aktif dalam politik dan menyumbang secara terus kepada politik.

“Sebelum ini, pendirian banyak mahasiswa melalui pertubuhan dianggotai mendakwa mereka sebagai non-partisan tapi dalam Biro Mahasiswa di bawah Pemuda Amanah Nasional, kita mahu beri penjelasan kepada mahasiswa betapa mustahak mereka bersama di dalam sistem dan gelombang parti politik itu sendiri,” ujarnya lagi menjelang Marghrib ketika itu.

Sehubungan itu, Umar memberitahu siri jelajah Biro Mahasiswa ke ke seluruh kampus akan diadakan bagi mendedahkan pelajar tentang konsep pendidikan politik secara umum dengan antara penekanan diberi adalah mengajak mereka yang layak mengundi untuk mendaftar sebagai pemilih.

TAGS