Bertemu tidak bermakna setuju, kata Mujahid selepas bertemu Nisha

Bertemu tidak bermakna setuju, kata Mujahid selepas bertemu Nisha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa menegaskan pertemuan beliau dengan aktivis transgender Nisha Ayub semalam tidak bermakna beliau bersetuju dengan semua yang diperjuangkan mahupun mengiyakan perbuatan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Mujahid dalam kenyataannya hari ini berkata, Nisha telah menghubungi beliau untuk mengadakan pertemuan dan beliau menerima kehadirannya dengan ikhlas memandangkan isu berkaitan transgender perlu diselami serta difahami khususnya yang berkaitan dengan peranan institusi agama bagi menangani fenomena ini.

Katanya, Nisha turut menegaskan beliau bukan ikon bagi komuniti LGBT sebaliknya beliau hanya seorang aktivis yang memperjuangkan nasib golongan mak nyah yang sering disisihkan serta memberi galakan agar mereka keluar daripada ‘industri seks’.

“Pada pertemuan semalam juga, tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan.

“Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus,” jelas Mujahid.

Berhubung isu gambarnya digantung dan diturunkan di pameran fotografi Georgetown, Nisha berkata beliau tidak dimaklumkan bahawa gambarnya digunakan dalam pameran tersebut.

Malah Nisha juga memberitahu bahawa beliau tidak kisah tentang penurunan gambar berkenaan.

“Apa yang paling utama ketika ini ialah, kita perlu hapuskan budaya benci dan diskriminasi kepada komuniti tersebut terutamanya di tempat kerja mahupun di tempat-tempat awam.

“Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah malah Islam juga tidak mengalakkan umatnya untuk menyakiti manusia yang lain. Hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan,”katanya.

 

 

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES