Malaysia Dateline

Bertenang, pesan Wan Azizah isu perbezaan pendapat lantikan MPP PKR

“Keep cool, keep cool (bertenang, bertenang),” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat secara terbuka di antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Beliau yang juga pengerusi majlis penasihat PKR berkata buat masa ini beliau mahu semua anggota PKR memberikan ruang kepada Anwar untuk mencorak kepimpinan parti itu setelah beliau dipilih sebagai presiden yang baharu pada pemilihan PKR lepas.

Katanya pelantikan beberapa jawatan utama dalam parti oleh Anwar itu adalah kerana beliau mahu mengukuhkan kesatuan antara anggota-anggota parti.

“Saya rasa beri peluang kepada presiden menerajui parti … kita telah pilih dia, seperti saya kata ini adalah presiden yang menjadi faktor perpaduan di kalangan anggota parti kita,” katanya.

Ditanya mengenai potensi Mohamed Azmin mencabar jawatan presiden PKR pada masa akan datang, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu banyak berlaku dalam mana-mana parti politik sekalipun.- BERNAMA