Malaysia Dateline

Berti sokongan kepada Latheefa Koya, kata Shukri

Berikan sokongan dan kepercayaan kepada Latheefa Koya untuk menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan melaksanakan tugasnya dengan terbaik, kata bekas Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Mohd Shukri berkata adalah membuang masa untuk melalak dan “membawang” kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan mengenai pelantikan Latheefa sebagai KP SPRM yang baharu.

Katanya beliau meletakkan kepercayaan kepada Latheefa untuk memimpin SPRM dengan baik dan melaksanakan tugas untuk negara.

“Berikan sokongan dan biarkan dia membuat kerjanya. Biar dia buat yang terbaik dan kemungkinan dengan tugas dia sebelum ini sebagai peguam, dia boleh bawa idea-idea korporat dan diganding dengan inisiatif kerajaan,” katanya dalam satu pertemuan dengan media di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana yang menjalankan tugas adalah pegawai-pegawai SPRM dan tugas KP SPRM adalah untuk menggerakkan.

“KP baharu walaupun tidak ada pengalaman dalam kerja SPRM tetapi pegawai yang akan buat kerja, dan pegawai-pegawai ini memang ini terlatih. So benda ini akan berjalan lancar,” katanya dalam satu pertemuan dengan media di sini hari ini.- BERNAMA