Bertindak guna laporan palsu, DAP jawab ROS

Bertindak guna laporan palsu, DAP jawab ROS

DAP menyerahkan surat penjelasan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) semalam, bagi merungkai segala dakwaan ‘fiksyen’ yang dikemukakan ROS berkaitan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 2013.

ROS mengemukakan notis tersebut kepada DAP pada 17 Julai lalu.

Surat yang ditujukan kepada Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin bin Abdullah diserahkan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP (2008-2012), Teresa Kok bersama Setiausaha Organisasi Kebangsaan terkini, Anthony Loke dan pimpinan DAP lain, lapor Roketkini.

Rombongan DAP yang berada di kaunter ROS Aras 2 menunggu kira-kira 10 minit sebelum diminta turun bagi menyerahkan surat berkenaan kepada Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan Mohamad Nawawi Bin Mat.

Surat tersebut menjawab dakwaan ROS sebelum ini yang dipercayai bertindak berdasarkan laporan yang telah disahkan Mahkamah sebagai palsu sebagaimana ditimbulkan oleh watak rekaan, Father Augustus Chen di dalam “Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC”.

Dalam kes tersebut, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menang dalam kes saman fitnah terhadap penerbit Utusan Malaysia ekoran laporan ‘Father Agustus Chen’ dan dianugerahkan gantirugi sebanyak RM25,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2014.

Berdasarkan rekod DAP pada 15 Disember 2012, hanya terdapat 751 cawangan yang berhak menghantar wakil ke Kongres Kebangsaan DAP bagi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan notis telah dihantar kepada cawangan berkenaan untuk hadir ke pemilihan.

“Sepertimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan parti, notis juga dikeluarkan kepada cawangan-cawangan lain dalam parti menghantar ahli biasa untuk menjadi pemerhati yang tidak berhak mengundi,” kata Teresa membacakan surat kepada ROS itu dalam sidang media selepas itu.

Pada 29 September 2013, sebanyak 985 cawangan telah diberikan notis termasuk 751 cawangan yang layak mengundi manakala 234 cawangan diberikan notis untuk hadir sebagai pemerhati.

Pada 7 Julai lalu, ROS mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan CEC yang baru dengan dakwaan kononnya pelantikan CEC pada 29 September 2013 adalan tidak sah.

Apa yang menimbulkan persoalan, selain menggunapakai laporan palsu penulis rekaan Father Agustus Chen, arahan itu dibuat secara tiba-tiba setelah empat tahun berlalu, setelah dibangkitkan semula oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad.

COMMENTS

Wordpress (0)