Malaysia Dateline

‘Bertindak pantas, umumkan pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif’

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri perlu mengguna pakai motto baharu ‘Bertindak pantas dan melakukan apa sahaja’ dan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif pada hari Jumaat ini.

Ujarnya, ini adalah masa untuk kerajaan melaksanakan dasar yang tidak konvensional seperti ‘wang helikopter’, di mana semua rakyat mendapat bantuan tanpa syarat.

Menurutnya, bank-bank pelaburan negara juga perlu bertindak menyediakan pinjaman kecemasan tanpa had kepada perniagaan.

“Ini perlu dilakukan demi mengurangkan kadar muflis peribadi dan korporat, di samping memastikan rakyat mempunyai wang untuk kekal berbelanja walaupun mereka tidak bekerja.

“Ia juga untuk meningkatkan pelaburan awam serta perbelanjaan penjagaan kesihatan.

“Dalam hal ini, arahan Bank Negara kepada pihak bank untuk memberikan moratorium selama enam bulan secara automatik terhadap semua pembayaran pinjaman dan pembiayaan, kecuali baki kad kredit, mulai 1 April, amatlah dialu-alukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik melalui blog rasminya, hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu membidas cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lalu, yang dianggap akan menjejaskan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kepimpinan beliau pada waktu yang amat penting ini.

Kit Siang menjelaskan, bahawa hampir 33 peratus pencarum KWSP aktif mempunyai kurang daripada RM6,000 dalam Akaun 2 mereka setakat Disember 2018.

Manakala 28 peratus lagi mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 yang kebanyakannya terdiri dari kategori kumpulan B40.

Justeru katanya, Muhyiddin perlu memastikan semua isi rumah berpendapatan rendah yang terdedah kepada impak ekonomi Covid-19, terus dibantu.

“Kerajaan seharusnya mempertimbangkan langkah membantu perniagaan dan pekerja seperti kerajaan UK yang menampung 80 peratus gaji pekerja, sehingga 2,500 pound sebulan, ketika negara tersebut menghadapi wabak Covid-19.

“Muhyiddin perlu mengadakan siaran langsung menarik balik cadangan tersebut dan menggantikannya dengan pemberian wang tunai.

“Pemberian tersebut bukan sahaja kepada 12 juta pencarum KWSP, tetapi juga kepada sejumlah besar tenaga kerja di Malaysia yang tidak mencarum kepada KWSP,” tegasnya.