Malaysia Dateline

Beruang madu yang terlepas ditemui semula

Seekor beruang madu yang terlepas dari sangkar telah ditemui semalam.

Beruang madu tersebut dipelihara oleh seorang penduduk Kampung Rasau, Serian, Kuching sejak 20 tahun lalu.

Menurut kenyataan akhbar Perbadanan Perhutanan Sarawak atau Sarawak Forestry Corporation (SFC), beruang tersebut telah ditembak oleh si pemilik yang merupakan warga tempatan sebelum dibawa pulang dan dipelihara hampir 20 tahun.

Hasil pemeriksaan oleh Swift Wildlife Action Team (SWAT) mendapati si pemilik mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Kehidupan Liar, Jabatan Perhutanan Sarawak (FDS).

Bagaimanapun SFC menegaskan bahawa si pemilik telah melanggar beberapa syarat tertentu yang berkaitan dengan saiz sangkar terlalu kecil untuk penjagaan beruang terbabit.

Selepas diberi penjelasan dari SFC, pemilik berulang tersebut bersetuju untuk menyerahkan beruang madu itu secara sukarela untuk dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang bagi tindakan seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif SFCSB, Zolkipli Mohamad Aton berkata SFC sentiasa komited dalam menangani perdagangan haram hidupan liar serta jenayah dan penyalahgunaan hidupan liar.

Beruang madu merupakan haiwan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 dan sekiranya didapati bersalah, si pelaku boleh dikena penjara selama setahun atau denda sebanyak RM10,000.

SFC turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu pihak berkuasa dalam mencegah aktiviti perdagangan haram hidupan liar serta pembalakan haram di Sarawak.