Malaysia Dateline

‘Besar nanti jadi macam Mat Kilau, lawan penindasan, pengkhianat, perasuah’

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berharap generasi muda mencontohi semangat pahlawan Pahang abad ke-19, Mat Kilau dalam menentang penindasan.

Beliau berkata demikian selepas menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan bersama sekumpulan anak muda di kawasan diwakilinya.

Menariknya, wakil rakyat DAP berkenaan menyifatkan mereka sebagai “anak-anak angkat”.

“Pi tengok Mat Kilau bersama anak-anak angkat.

“Ada orang kat pawagam sana kata kami macam keluarga besar. Betui la tu, kami memang famili.

“Semoga anak-anak besar nanti jadi macam Mat Kilau, lawan penindasan, lawan pengkhianat, lawan perasuah.

“Jalan teruih!” tulis Chee Keong kelmarin menerusi Facebook rasmi beliau.

Untuk rekod, filem epik pertama arahan Syamsul Yusof yang muncul menjadi fenomena luar biasa itu telah mengutip RM47 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

Bahkan, filem yang ditayangkan di pawagam di seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei itu berjaya mengenepikan filem Hollywood hebat seperti Top Gun Maverick dan Elvis.

Filem dengan kos RM8 juta itu dibarisi pelakon mantap seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Turut beraksi dalam filem yang mengangkat seni silat Melayu ini ialah Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Johan As’ari, Yayan Ruhan dan ramai lagi.

Baca juga Ketika ‘Mat Kilau’ gegar pawagam, pengkaji sejarah ini impikan Perang Musuh Bisik pula difilemkan