Better Beer Festival: Cabaran tuntutan bersilang masyarakat majmuk

Better Beer Festival: Cabaran tuntutan bersilang masyarakat majmuk

Isu ‘Better Beer Festival’ menjadi contoh terkini bagaimana rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama berdepan dengan masalah ‘bersilang kepentingan’ dan ‘berlawanan tuntutan’, kata Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, situasi pertentangan atau konflik seperti ini adalah ciri yang kerap tampil dari semasa ke semasa, sekaligus menggugat keharmonian antara kaum dan budaya serta kecurigaan antara penganut agama dan kepercayaan, khasnya yang melibatkan golongan minoriti non-Muslim dalam sebuah negara majoriti Muslim.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa arak amat memudharatkan kesihatan dan ‘penagihan arak’ (alcoholism dan drunkedness), terbukti secara saintifik dan psiko-sosial sebagai ibu pelbagai jenayah, penyakit sosial dan punca keruntuhan institusi famili.

Dr Dzulkefly menambah, walaupun Islam tidak menghalang bahkan mengiktiraf hak penganut agama lain dan golongan minoriti untuk meminum arak, menganjurkan ‘festival’ atau ‘pesta’ arak adalah tidak wajar.

Sehubungan itu, katanya menjadi kewajipan kepada pihak menganjur untuk menyatakan kewajaran pesta itu diadakan di samping pihak berkuasa tempatan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi.

“Dengan tidak memahami akan realiti penganjuran ini, akan mengakibatkan sesetengah pihak (seperti sebuah parti politik lslam baru-baru ini), yang menuntut supaya pihak penganjur menjamin orang awam tidak akan ada jenayah, seks bebas, rogol dan sebagainya. Mungkin ada pihak yang membayangkan pesta arak ini adalah seumpama ‘Woodstock’ dalam dekad 70-an dulu,” katanya.

Pihak penganjur ‘Better Beer Festival’, katanya perlu memahami bahawa sebarang sekatan terhadap pesta arak secara terbuka itu bukanlah menghalang hak bukan Islam dari meminum arak tetapi ia bagi memastikan ketenteraman dan kemaslahatan awam terjamin.

Beliau juga mengingatkan bahawa sudah sampai waktunya bagi peneraju politik Islam untuk menyatakan kebenaran dan tuntutan bersilang seperti ini dengan keberanian ilmu dan garapan realiti sebenar masyarakat majmuk dalam rangka besar Siasah Syariah dan Maqasid Syariah.

“Perlu ada komitmen yang jelas dan keberanian yang dipandu kebijaksanaan llmu, untuk mendepani segala tuntutan bersilang dan kepentingan yang berlawanan, khasnya dalam menjamin hak minoriti dalam negara majoriti Muslim,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru para ulama, cendekiawan Islam, badan-badan bukan kerajaan termasuk pihak berwajib seperti Jakim sama-sama bertanggungjawab menggembleng tenaga buat menyebar-luaskan pencerahan dan kefahaman atas isu-isu bersilang seperti ini.

“Dengan pendekatan wacana ilmu, seminar dan sebagainya, semoga impian kita untuk menyaksikan sebuah negara-bangsa yang utuh dan berpadu dengan hubungan antara kaum, agama dan budaya akan dapat kita gapai bersama, merentasi fahaman politik kepartaian,” katanya.

Artikel penuh beliau boleh diikuti di mingguan Amanah bil. 69, keluaran terbaru.

CATEGORIES
TAGS