Better Beer Festival: Mencari rahmatan lil alamin

Better Beer Festival telah dirancang untuk diadakan pada 6 dan 7 Oktober 2017 di Publika, Kuala Lumpur. Program itu dianjurkan oleh MyBeer iaitu pengedar ‘craft beer’ yang terbesar di Malaysia.

‘Craft beer’ adalah bir yang dibuat pengilang bebas secara skala kecil iaitu kurang daripada 6 juta barel setiap tahun.

Ianya adalah kira-kira 25% daripada pasaran bir yang dibuat secara komersil. Menurut laman web eventbrite.com iaitu web yang menjual tiket untuk festival ini dinyatakan bahawa ini adalah festival kali keenam yang diadakan yang mana 250 jenis craft beer daripada 43 pengilang daripada 12 buah negara akan terlibat dalam festival ini.

Web ini juga menyatakan bahawa festival ini hanya terbuka kepada orang bukan Islam dan berumur 21 tahun ke atas sahaja.

Festival ini mula menjadi isu politik apabila ianya diprotes oleh PAS. PAS telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengecam festival ini.

YB Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS misalnya mengatakan bahawa pesta arak adalah taawun untuk berbuat dosa. Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus pula menyatakan pihak berkuasa mesti membatalkannya kerana ia bercanggah dengan dasar bernegara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan mengundang pelbagai gejala negatif.

Manakala, ahli-ahli dan penyokong PAS pula mendakwa Parti Amanah Negara hanya berdiam diri tidak membantah festival tersebut dan tunduk kepada DAP.

Tempikan ahli-ahli dan penyokong PAS ini tidaklah menghairankan kerana YB Ustaz Idris Ahmad sendiri menyatakan, “Orang yang kemaruk undi takut hendak menentang, nanti kaki arak tidak sokong di dalam pilihanraya. … Mungkin lepas ini ada ustaz-ustaz maqasid akan memberi hujah, pesta arak mudharat kecil saja.”

Syarhan Humaizi Halim, Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor pula menyatakan, “Amarah anak muda Islam jangan dicabar. Isu arak sudah melangkaui batas parti politik, bangsa dan agama.

Akan lahir ‘Kesatuan Rakyat atau Wehdatul Ummah’; bagi berdepan dengan isu dan golongan ini…, Haramkan terus Pesta Liar Arak daripada dianjurkan dalam negara kita. Harmonikan rakyat dengan budaya dan amalan hidup yang waras.”

Dalam hal ini, isu Better Beer Festival ini telah dimomokkan sebagai suatu agenda musuh Islam dan mana-mana pihak yang tidak bersama membuat momokan agresif mereka akan dianggap bersekongkol dengan penganjur festival ini.

Menggunakan jalan agresif sebegini bukanlah suatu ajaran Islam yang sebenar. Perbuatan mengapi-apikan emosi umat Islam adalah suatu tindakan yang tidak bijaksana dan boleh mendatangkan musibah.

Bayangkan jika ada sesiapa yang menyahut seruan agresif itu dan membuat perkara-perkara yang menyalahi undang-undang seperti membakar premis menjual arak atau menyebabkan kecederaan kepada peminum arak akan mendatangkan tohmah yang besar kepada umat Islam.

Sewajarnya isu sebegini harus ditangani dengan lebih bijak. PAS sendiri hanya bersuara untuk menunjukkan kononnya mereka sangat Islamis sedangkan hal ini boleh ditangani dalam bentuk dialog atau dengan memberikan dakwah yang penuh hikmah.

Langkah mengapi-apikan perasaan dan emosi ini adalah penyelesaian yang singkat yang akan menjauhkan orang bukan Islam kepada keindahan Islam itu sendiri.

Kita juga tertanya-tanya jika bantahan sebegini dibuat secara konsisten oleh PAS masakan program Better Beer Festival ini sudah masuk tahun keenam. Jadi di mana suara PAS untuk tempoh 5 tahun yang lepas.

Tidak ada gunanya menggunakan bahasa yang ekstrim dan keras dalam hal sebegini kerana kelak orang bukan Islam akan juga bertindak ekstrim dan keras kepada agama Islam.

Malah, Allah swt sendiri menghalang orang Islam daripada mencela tuhan orang bukan Islam. Allah swt berfirman, “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”
(QS. Al An’am: 108).

Dalam hal ini, langkah YB Dr Siti Mariah Mahmood, Ketua AWAN Nasional adalah lebih rasional dan berhemah. Beliau menjelaskan bahawa hak untuk meminum arak adalah hak orang bukan Islam.

Namun, menganjurkan suatu festival besar sebegitu akan mendatangkan kemudaratan yang besar yang lain iaitu akan mempromosi gejala ketagihan kepada alkohol.

Beliau melihat sendiri beberapa keluarga kaum India yang menghadapi porak-poranda disebabkan masalah alkohol ini.

Begitu juga apabila wujud festival sebegini maka akan bertambah peminum alkohol yang akhirnya alkohol ini sendiri boleh menyebabkan keradangan hati (sirosis).

Kaedah yang dibawa oleh YB Dr Siti Mariah ini lebih menepati firman Allah swt, “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik” (QS. Al ‘Ankabut: 46).

Maka, di sinilah wujudnya rahsia rahmatan lil alamin yang menjadi anjuran agama Islam ini sendiri.

Kita sepatutnya menunjukkan bahawa ajaran Islam yang dibawa ini adalah suatu rahmat kepada sekalian alam sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam.

Kita ingin mengajak semua orang mengikut ajaran Islam yang murni. Pada masa yang sama kita tidak boleh memaksa semua orang menerima Islam.

Islam ini secara tabienya adalah agama fitrah dan rasa kasih kepada Islam ini tidak boleh dipaksa-paksa.

Hidayah itu akan datang sekiranya kita dapat menunjukkan rahmat Islam itu kepada semua manusia.

Allah swt berfirman, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (QS. An Nahl: 125).

Undang-undang negara ini sendiri tidak menghalang orang bukan Islam yang dewasa untuk meminum alkohol. Belum ada undang-undang yang menghalang untuk dibuat program minum alkohol secara besar-besaran kecuali berkaitan dengan undang-undang kecil yang terletak di bawah pihak berkuasa tempatan.

Maka, undang-undang haruslah diperkasakan jika tidak mahu festival sebegini berulang.

Pihak berkuasa tempatan juga haruslah mewujudkan garis panduan yang jelas dalam penganjuran program sebegini supaya tidak mendatangkan kerugian kepada penganjur.

Begitu juga pihak penguatkuasa juga harus tegas supaya program sebegini tidak dihadiri oleh orang Islam atau orang awam yang berumur di bawah umur 21 tahun.

Peristiwa ini harus diambil pengajaran oleh semua supaya langkah-langkah dapat diperkemaskan dan Islam dapat dilihat sebagai rahmat kepada sekalian alam.

CATEGORIES
TAGS