Dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai titah tambahan diraja supaya menjalani tahanan rumah telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peguam.
Beberapa pengamal undang-undang tempatan turut tampil mempersoalkan sama ada pengampunan diraja yang dikurniakan kepadanya boleh meliputi peruntukan tahanan rumah.
Tampil memberikan penjelasan, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir selaku peguam kanan memberitahu kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak terhad kepada mengurangkan hukuman penjara atau pengampunan penuh sahaja.
Sebaliknya, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong ini turut terpakai kepada Seksyen 43 Akta Penjara iaitu membenarkan pelepasan atas lesen bagi banduan yang menjalani tempoh pemenjaraan.
Oleh yang demikian, Nizam berpendapat bahawa Titah Adendum didakwa Najib itu wajar dikuatkuasakan oleh pihak-pihak berkenaan dalam cara disifatkan konsisten dengan undang-undang, lapor Berita Harian.
“Kuasa pengampunan adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Andaian yang sepatutnya dibuat adalah Tuanku menerima nasihat dari pihak-pihak yang berkenaan dan membuat titah pengampunan dengan sewajarnya.
“Dalam keadaan sedemikian, secara amnya, titah Yang di-Pertuan Agong wajar diterima dan tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak lain,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung perlaksanaan Titah Adendum di Mahkamah Tinggi pada 1 April lalu.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan itu.
Ahli politik berusia 70 tahun itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan yang bertarikh 29 Januari 2024.
Bekas Presiden Umno itu turut memohon perintah mandamus agar semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta sekiranya dekri tambahan tersebut benar-benar wujud.
Perlaksananaan titah ini bermakna, Najib boleh dipindahkan daripada Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Kemudian pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.
Namun, Najib yang dijangka keluar pada Ogos 2028 itu boleh dibebaskan lebih awal atas ‘kelakuan baik’ selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjara. pada Ogos 2026.
Baca juga: Muhyiddin masih ‘pertimbang’ duit peruntukan pembangkang, sekali netizen ‘petik’ pasal tutup kabinet