Usahawan sensasi, Datin Vivy Yusof kembali menjadi topik perbincangan hangat selepas terpalit dengan kes kehilangan cincin bernilai RM3.8 juta di Paris.
Sering melancong ke luar negara dan juga memaparkan gaya hidup mewah di media sosial, tidak hairanlah jika namanya ‘dipetik’ netizen sebagai pemilik cincin tersebut.
Akaun media sosial milik pengasas FashionValet and dUCK Group itu turut dibanjiri dengan pertanyaan daripada pengikutnya mengenai kesahihan dakwaan berkenaan.
Tidak ingin terus berdiam diri, pemilik nama sebenar Vivy Sofinas Yusof itu akhirnya tampil menjawab persoalan sama ada cincin berlian tersebut benar-benar miliknya.
Menerusi satu hantaran di Instastory, Vivy Yusof memaklumkan bahawa dirinya tidak berada di Paris berikutan sedang bercuti dalam negara iaitu di Pulau Pinang sahaja.
Turut menyifatkan dakwaan tidak berasas itu sebagai perkara melucukan, Vivy Yusof berpendapat manusia terlalu mudah mempercayai apa sahaja yang dibaca (gosip).
Lebih memburukkan keadaan, ada segelintir pengguna media sosial yang membuta tuli menyerang orang tidak bersalah tanpa mengetahui kesahihan sesuatu dakwaan.
“Saya tengah sibuk makan kuaci dan menghirup laksa di Pulau Pinang. Bukan Paris. Ini telah berlaku kepada saya selama bertahun-tahun. Media sosial menjejaskan sikap perikemanusiaan kita.
“Selepas itu, tak pasal-pasal kita kumpul dosa (sebar dakwaan tidak benar). Ini adalah sesuatu yang kita boleh ubah di tahun 2024 nanti,” kata wanita berusia 36 tahun itu.
Berdasarkan kenyataan berkenaan, maka jelaslah bahawa isteri kepada usahawan, Datuk Fadza Anuar itu bukanlah pemilik sebenar cincin berlian yang hilang di Paris.
Terdahulu, akhbar antarabangsa iaitu Le Parisien melaporkan kes kehilangan cincin bernilai RM3.8 juta dipercayai milik jutawan Malaysia di sebuah hotel mewah di Paris.
Tular di media sosial, pemilik cincin yang merupakan seorang usahawan itu membuat laporan polis selepas mensyaki pekerja hotel Ritz di Paris mencuri barang kemasnya.
Walau bagaimanapun, pegawai keselamatan hotel tersebut berjaya menemukannya di dalam beg pembersih hampagas atau vacuum selepas dua hari dilaporkan hilang.
Difahamkan, ahli perniagaan asal Malaysia yang enggan dikenali itu keluar daripada bilik hotel untuk membeli-belah di bandar Paris pada awal pagi Jumaat (8 Disember).
Sekembalinya di hotel kira-kira pada pukul 11.30 pagi, wanita itu mendapati cincin bernilai 750,000 euro (RM3,843,063.16) yang ditinggalkan di atas meja hilang dari pandangan.
Baca juga: “Pangkat ‘Tun’ tak bermaksud duduk atas undang-undang” – Shamsul Iskandar balas kenyataan Tun M