Betul ke ibu boleh hilang hak jagaan anak jika tiada pekerjaan? Ini penjelasan peguam syarie

Oleh WAN SITI AMINAH

Hak penjagaan anak merupakan antara perkara utama difikirkan oleh sang ibu ketika menjalani proses penceraian terutamanya untuk mereka yang bergelar suri rumah.

Suri rumah atau ibu yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan ataupun pendapatan semestinya merasa khuatir jika hak penjagaan anak mereka jatuh ke tangan suami.

Hal ini berikutan mereka menyangka, kemampuan daripada sudut kewangan adalah faktor penentu dalam perjuangan mendapatkan hak penjagaan anak di mahkamah.

Situasi inilah dialami oleh seorang wanita yang merasa khuatir akan kehilangan hak penjagaan anak berumur dua tahun tiga bulan ekoran tidak mempunyai pekerjaan.

Wanita terbabit kemudian bertanyakan isu tersebut kepada peguam syarie dikenali sebagai Hazwani Zainal yang berkongsikan perbualan mereka itu di platform TikTok.

“Assalamualaikum puan. Saya dengan suami tengah dalam proses perceraian. Kalau kami bercerai nanti, layak ke saya yang tiada pekerjaan dapat hak jagaan anak,” soal wanita itu.

Dalam perkongsian itu, Hazwani turut berkongsi jawapan diberikan kepada wanita terbabit iaitu seorang ibu yang tiada pekerjaan tidak akan menghilangkan haknya untuk menjaga anak.

Walau bagaimanapun, sang ibu perlu memastikan dirinya sentiasa mematuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjadi seorang penjaga kepada anak supaya hak penjagaan itu tetap di tangan mereka.

“Sebenarnya dalam undang-undang dan hukum syarak, tiada peruntukkan menyatakan bahawa ibu yang tidak bekerja tidak layak mendapat hak jagaan anak. Walaupun tak bekerja, puan masih layak.

“Sebab tugas memberi nafkah kepada anak-anak adalah di bawah tanggungjawab ayah. Namun begitu, puan perlulah memastikan diri sentiasa memenuhi kelayakan untuk menjadi seorang penjaga.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam seksyen 83 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003,” kata peguam itu yang turut menyenaraikan syarat kelayakan untuk menjadi penjaga.

Syarat kelayakan;

  1. Mestilah seorang yang beragama Islam.
  2. Mestilah sempurna akal.
  3. Umur yang layak untuk memberikan jagaan dan kasih sayang kepada anak tersebut.
  4. Berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah.
  5. Mempunyai tempat tinggal yang sesuai (tempat tinggal yang tidak menjejaskan akhlak atau jasmani anak yang dijaga).

Sang ibu yang tidak didedahkan identitinya itu kemudian bertanya kepada Hazwani apakah kesannya jika suaminya bertindak memburukkan dirinya memandangkan lelaki berkenaan adalah ‘orang senang’.

Hazwani lalu menjawab, pihak mahkamah syariah tidak akan membuat keputusan melulu tanpa menilai bukti terlebih dahulu malah wanita itu juga akan diberikan peluang untuk membela diri.

“Jika dia dakwa puan berkelakuan buruk, maka dia perlu buktikan. Kalau dakwa tanpa sebarang bukti, hakim tak akan terima. Dalam masa yang sama, puan juga boleh menjawab apa yang didakwa tersebut.” Jelasnya.

@puanhazwanizainal

LAYAKKAH SEORANG IBU DAPAT HAK JAGAAN ANAK JIKA DIA TIDAK BEKERJA? Seorang ibu yang tidak bekerja tidak akan menghilangkan haknya untuk menjaga anak. Namun begitu, si ibu hendaklah memastikan dirnya sentiasa mematuhi syarat kelayakan untuk menjadi seorang penjaga kepada anak. #hadhanah #hakjagaananak #surirumah

♬ Saat Hilang Cintamu – Sarah

Baca juga: “Aku jaga ‘body’ walaupun anak dah 4, suami tetap curang, alasan dia buat aku naik darah…”