Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra disapa sebagai UAI tampil merungkai persoalan mengenai niat untuk berpuasa di bulan Ramadan selepas ditanya mengenainya di dalam satu sesi ceramah.
Hal ini berikutan timbul satu kekeliruan berhubung lafaz niat yang menjadi salah satu syarat sah berpuasa ini sama ada lebih afdal dilafazkan untuk satu hari atau sebulan di bulan Ramadan sahaja.
Menurut pendakwah kelahiran Terengganu itu, kedua-dua jenis lafaz niat tersebut sememangnya tidak salah untuk diamalkan namun sebagai rakyat Malaysia, kita lebih cenderung kepada pendapat Imam Syafie.
Berikut adalah jawapan daripada pendakwah berkenaan berdasarkan rakaman berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di platform TikTok memaparkan sedutan sesi ceramah tersebut.
“Jika hendak niat puasa sebulan sekali gus, boleh. Mazhab Maliki berpandangan bahawa niat boleh dilafazkan secara sebulan sahaja. Kerana bagi mereka, sebulan berpuasa ini adalah satu ibadat sahaja walaupun selama 30 hari.
“Cuma kita mengikuti pandangan berbeza berdasarkan majoriti ulama iaitu Mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali yang menganggap satu hari berpuasa itu bersamaan dengan satu ibadat.
“Perkara ini bermakna jika seseorang itu berpuasa selama 30 hari, maka ia dikira sebagai 30 ibadat,” kata pendakwah berkenaan di dalam rakaman yang kini sudah 52,000 tanda suka dari pengguna TikTok itu.
Oleh yang demikian, orang ramai dibolehkan untuk niat berpuasa sebulan pada malam 1 Ramadan sahaja namun diwajibkan untuk berniat setiap malam bagi memastikan ibadah puasa lebih sempurna.
“Malam lain wajib juga untuk berniat tetapi cuma kalau terlupa niat, puasa masih lagi sah sebab sudah berniat sebulan. Itu kelebihan dia.” Jelasnya yang memaklumkan niat perlu dibuat antara waktu Maghrib hingga sebelum waktu Subuh.
Baca juga: Kosongkan jadual kerja, Ummi Nazeera luangkan bulan Ramadan bersama keluarga