Sejak kebelakangan ini, trend berjoget bagi mendapatkan duit raya yang popular ketika perayaan Aidilfitri sering kali menjadi topik perbincangan hangat di laman media sosial berhubung asal usul gerak tarian tersebut.
Hal ini kerana banyak pihak mendakwa bahawa tarian itu memiliki kaitan rapat dengan budaya masyarakat Yahudi menyebabkan trend tular tersebut dilarang untuk diikuti terutama buat umat Islam kerana menyerupai agama lain.
Walaupun kebenaran dakwaan itu masih menjadi tanda tanya, namun trend tersebut boleh membawa kepada hukum haram khususnya bagi wanita beragama Islam jika dilakukan secara berlebihan sehingga menonjolkan aurat.
Menurut Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri, budaya bersalaman dan mengucapkan kemaafan serta berterima kasih sempena hari raya tidak perlu dicacatkan dengan tarian sehingga melampaui batas agama.
Selain menjatuhkan maruah dan mempamerkan aurat wanita, trend ini juga dianggap kurang manis dan tidak bermoral untuk dilakukan serta boleh mengundang fitnah meskipun tiada kaitan dengan agama lain.
Bagaimana pula dengan asal usul tarian ini, adakah benar ia mempunyai kaitan dan menyerupai budaya masyarakat Yahudi seperti mana yang hangat diperkatakan oleh rata-rata pengguna media sosial tempatan?
Difahamkan setakat ini, asal usul tarian berkenaan masih belum jelas namun masyarakat daripada dua negara iaitu Romania dan Albania mendakwa mereka yang mencipta gerak tari tersebut.
Namun memetik sumber daripada laman web Folkdance Footnotes, tarian ini sudah digunakan sebagai koreografi lagu Finland bertajuk ‘Letkis’ yang pernah muncul dalam kaca televisyen menerusi rancangan German TV.
Rakaman program tersebut turut dimuat naik di platform Youtube dengan tajuk ‘Tarian Penguin Tahun 1956’ namun lagu Letkis hanya mula dirakam pada 1963 di mana penampilan penari dalam video juga berasal dari zaman itu.
Lagu Letkis merupakan salah satu dari irama Letkajenkka iaitu tarian rakyat Finland yang telah digubah oleh Rauno Lehtinen dengan memberi bunyi ‘moden’ menggunakan kumpulan pancaragam jazz atau peralatan muzik elektrik.
Namun memandangkan tarian Penguin ini tidak memiliki kaitan dengan gerak tari rakyat Finland, ada pihak mendakwa bahawa ia sebenarnya dibawa ke negara itu oleh pelajar pertukaran yang pulang dari Amerika Syarikat.
Pelajar terbabit dikatakan mengambil inspirasi daripada tarian ‘Bunny Hop’ ataupun lompatan arnab selepas menontonnya dalam rancangan televisyen Bandstand TV namun lebih suka menggelarkannya tarian Penguin.
Sekadar info, ‘The Bunny Hop’ adalah lagu karangan Ray Anthony selaku pengacara rancangan The Anthony Show yang pernah popular di Amerika Syarikat sehingga gerak tarinya menjadi kegilaan pada sekitar tahun 1952.
Walaupun Anthony mendakwa mencipta tarian tersebut, namun laporan Majalah Time yang diterbitkan pada 26 Januari 1953 telah menafikan dakwaan berkenaan dengan mendedahkan pecipta sebenarnya.
Rupa-rupanya, tarian yang kini menjadi trend semula itu dicipta oleh pelajar di Sekolah Tinggi Balboa yang terletak di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada tahun 1952 sebelum Anthony mencipta lagu The Bunny Hop.
Baca juga: Liyana Jasmay padam video joget minta duit raya, menyesal ikut ‘trend’ tanpa usul periksa