Malaysia Dateline

Betulkah kerajaan PN bukan kerajaan gagal?

Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa bahawa tindakan majoriti rakyat Malaysia melabel Kerajaan pimpinan Mahiaddin Mohd Yasin selama 17 bulan sebagai Kerajaan Gagal adalah tidak benar.

Hujah beliau adalah bersandarkan tindakan Ismail Sabri mengekalkan 95% muka lama di dalam pentadbiran Mahiaddin di dalam barisan Jemaah Menteri yang baru.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 manakala barisan Jemaah Menteri mengangkat sumpah jawatan pada 30 Ogos 2021.

Kata Ahli MPT PPBM tersebut juga, selain pengekalan 95% muka lama, tindakan Yang di-Pertuan Agong memperkenan perlantikan tersebut juga adalah sebagai pengiktirafan bahawa Kerajaan pimpinan Mahiaddin, anggota Jemaah Menteri pimpinan Mahiaddin tidak gagal.

Adakah benar hujah Ahli MPT PPBM ini?

Kita semua tahu bahawa Mahiaddin adalah seorang Perdana Menteri khianat yang gagal. Seluruh anggota Jemaah Menteri beliau juga gagal kerana mereka bertindak secara kolektif. Kegagalan Mahiaddin menyebabkan Mahiaddin terpaksa berundur meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Jika Mahiaddin tidak gagal, mustahil ahli Dewan Rakyat Umno menarik sokongan sehingga beliau terpaksa menawarkan rasuah terbuka dan akhirnya meletakkan jawatan.

Selama 17 bulan Mahiaddin menerajui negara, negara tidak bertambah baik sebaliknya kadar angka positif dan kematian akibat pandemik Covid-19 meningkat dari hari ke hari.

Sekarang, Ismail Sabri mewarisi Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Mahiaddin pada Mac 2020 dan kemudian menikam Mahiaddin pada Ogos 2021.

Apa yang Ismail Sabri ada? Hanya 114 Ahli Dewan yang sama semasa Mahiaddin menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Untuk memilih anggota Jemaah Menteri baru di kalangan 114 yang ada, maka itu sahaja yang ada. Dikitar semula apa yang ada dengan harapan ianya akan menjadi sesuatu yang lebih baik sedangkan semua tahu yang dikitar semula tidak akan menjadi lebih baik daripada yang asal.

Kertas, plastik, tin kosong yang asal apabila dikitar semula menjadi produk baru tetapi tidaklah lebih baik dari yang asal kerana ianya kitar semula sahaja.

Sejak 21 Ogos 2021 mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan sejak 30 Ogos 2021 mempunyai anggota Jemaah Menteri, sudah hampir tiga (3) minggu menerajui Malaysia, apa yang baru yang telah diperkenalkan oleh Ismail Sabri?

SOP berkaitan pandemik masih diteruskan yang lama. Pelan Pemulihan Negara secara berfasa masih lagi yang sama. Angka positif masih lagi sama secara purata harian. Angka kematian masih lagi tiga angka.
Hari ini dilaporkan 18,762 angka positif. Setakat tulisan ini dimuatnaik, angka kematian belum dikeluarkan.

Apa yang berjayanya Ismail yang mewarisi kegagalan Mahiaddin?

Diperkenan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong bukan pengiktirafan TIDAK GAGAL tetapi itu hanya kehendak Perlembagaan.

Apa yang Tuanku boleh lakukan jika itu sahaja yang ada di hadapan Tuanku.

Janganlah gunakan Tuanku untuk menutup kegagalan.


Penulis adalah seorang peguam yang juga Naib Pengerusi DAP Kedah. Ini adalah pandangan peribadi beliau.