Betulkah Melayu berpecah dan akan hilang kuasa?

Betulkah Melayu berpecah dan akan hilang kuasa?

Orang Melayu hari ini, yang didakwa berpecah sehingga tidak mustahil bangsa itu akan kehilangan kuasa politik di negara ini sekiranya apa yang berlaku kini tidak dibendung. (Gambar sekadar hiasan).

Suatu persidangan meja bulat membincangkan perpaduan ummah Melayu telah merumuskan orang Melayu perlu bergerak ke arah untuk mengukuhkan kaum itu dengan tiga tindakan (aksi) utama; merangka, memiliki dan menjayakan “grand desingn” atau perancangan besar bagi menyatukan bangsa itu yang didakwa berpecah.

Sehubungan itu persidangan tersebut juga sebulat suara menggesa Raja-Raja Melayu sebagai institusi dihormat dan memiliki “prerogatif” tersendiri memainkan peranan dengan lebih agresif bagi menyatukan Melayu sesuai dengan kedudukannya.

Persidangan itu dianjurkan oleh Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) disertai oleh beberapa NGO dan juga tokoh akademik, pemimpin politik dan media massa pro-Umno. Persidangan itu membawa tema Perpaduan Ummah: Peranan IWM.

Ia dipengerusikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri, Abdullah Md. Zin, manakala antara tokoh yang hadir ialah Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Wan Zahidi Wan Teh, pakar sejarah, Dr Ramlah Adam, ahli MT Umno, Ibrahim Abu Shah, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr Hasan Mad, Pegawai Yayasan Karyawan Zainal Abidin Borhan dan beberapa yang lain.

Ilham persidangan itu bertitik tolak atas keyakinan keadaan orang Melayu hari ini, yang didakwa berpecah sehingga tidak mustahil bangsa itu akan kehilangan kuasa politik di negara ini sekiranya apa yang berlaku kini tidak dibendung. Kebimbangan inilah tampaknya menjadi agenda dan fokus kepada persidangan berkenaan.

Apabila kita mencerapi tujuan persidangan itu ada dua perkara yang boleh dilihat dan memberi kefahaman kepada kita, pertama, ialah mengenai perpecahan Melayu dan kedua Melayu akan kehilangan kuasa. Itulah mauduk atau pun intipati kepada persidangan eksklusif itu.

Tanpa prejudis kepada persidangan berkenaan ianya patut dialu-alukan dan sewajarnya semua orang Melayu dan mereka mencintai damai menerima baik usaha itu. Pada masa sama seharusnya memang perlu ada satu golongan yang menjadi pemantau atau pengislah kepada perkembangan bangsa, negara dan agama dengan adil dan penuh iltizam.

Sesuatu bangsa itu akan utuh dan martabat tamadunnya akan meningkat jikalau ada kepedulian daripada bangsanya. Firman Tuhan bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka. ” QS 13:11

Bagaimana pun kepada saya kesimpulan dan kebimbangan yang dipancarkan dan cuba dihurai menerusi persidangan itu menimbul sedikit tanda tanya dan agak mengelirukan. Persidangan itu, walaupun ia bernawaitu baik tidak ada guna kalau ia diadakan untuk merumuskan sesuatu bagi kepentingan sepihak sahaja (baca Umno).

Harus disedari tanggungjawab untuk merealisasikan kemajuan Melayu termasuk perpaduan bukan sahaja dipikul dan terbatas kepada Umno sahaja. Dalam pengertian lebih luas dari itu, daerah (skop) perpaduan Melayu itu perlu digalas oleh bangsa Malaysia dan diperankan oleh semua parti politik. Yang perlu diusahakan bukan sahaja perpecahan Melayu tetapi perpaduan nasional. Ini lebih afdal dan mencerminkan keikhlasan dan haq.

Penting juga tema dan persoalan yang diangkat menerusi persidangan itu hendaklah jujur dan merupakan isu yang benar-benar menghambat. Maksudnya ia benar dan bukan sesuatu yang dipropagandakan dengan tujuan politik bagi pihak tertentu.

Soalnya kini apakah keadaan Melayu, yakni perpecahan hari ini sudah parah dan sampai ke peringkat yang sangat kritikal sehingga membawa kepada pertemuan meja bundar itu. Apakah ukuran dan unjuran yang dibuat oleh para peserta, khasnya oleh pihak penganjur IWM sendiri?

Apakah hujah dan alasan untuk mengikhtirafkan Melayu berpecah? Dan sejauh manakah hakikat Melayu berpecah dan bakal memberi bencana? Kalaulah perpecahan dan kebimbangan yang ditelorkan itu bertitik tolak dari kemelut politik atau berdasarkan “kebebalan” Melayu berpolitik, ia tidak menakutkan. Jika boleh diberikan indeks, berapakah nilai perpecahan Melayu yang dikatakan itu.

Jika perpecahan didakwa itu berunsurkan politik, ia tidak perlu dibimbangkan. Kenapa saya mengatakan demikian kerana kerana selagi kita mengamalkan politik seperti hari ini bangsa Melayu akan selamat.

Perlembagaan negara mempunyai kuasa yang paling utuh. Dalam sistem demokrasi berpilihan raya yang diamalkan hari ini, Melayu tidak akan hilang kuasa politik. Dengan mengambil kira, kekuatan politik itu diukur kepada jumlah kerusi di Parlimen, Melayu tetap masih utuh. Kecualilah sistem politik negara ini ditukar dari sistem kiraan kerusi dan kawasan kepada kiraan peratus undi.

Kerusi yang didominasi Melayu atau Islam berdasarkan percapaian pilihan raya umum ke-13 adalah sebanyak 137 kerusi berbanding dengan bukan Islam dan lain sebanyak 85 kerusi. Dengan kedudukan itu Melayu sudah hampir mendapat majoriti 2/3 di parlimen. Ertinya statistik itu yang sudah dibina menerusi persempadanan kawasan pilihan raya secara tidak langsung mengawal kuasa orang Melayu.

Sedar atau tidak selagi Suruhanya Pilihan Raya ditunggaki orang Melayu dan pembentukannya dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, komposisi kerusi Parlimen tetap akan memihak kepada Melayu.

Selain itu institusi Raja-Raja juga menjadi bukan sahaja pelindung tetapi sebagai instrumen (benteng) menyelamat Melayu. Apa guna institusi Raja-Raja kalau institusi itu tidak menjamin kepentingan demikian? Apakah kaum Melayu tidak memahami peranan, tanggungjawab dan keistimewaan institusi ini?

Dengan memahami keadaan itu, maka jelas soal perpecahan Melayu yang berlaku hari ini hanya momokan. Satu permainan untuk kepentingan dan mengukuhkan kuasa politik parti dan jelasnya individu tertentu. Ia dijadikan modal untuk menjamin kekuasaan pihak tertentu.

Ia hanya sebagai suatu dakyah dan propaganda.

Sebalik sekiranya kebimbangan yang dirasai oleh IWM itu benar, apakah asas yang diguna pakai. Apakan sejarah boleh diterima menunjukkan Melayu dalam keadaan seperti telor di hujung tanduk? Seeloknya IWM atau pihak yang ghairah mendakwa Melayu berpecah dan akan hilang kuasa politik memperinci dengan lebih jelas, dan bukan setakat dakwaan tanpa fakta kukuh dan logik.

Sebenarnya bagi saya, ada rasa bimbang dengan langkah dan fokus yang dianjurkan oleh persidangan berkenaan terutama mencadangkan diadakan “grand design” atau perancangan ke arah mengukuhkan perpaduan Melayu itu. Apakah perancangan itu berbentuk spekulatif dan provaksi sesama sendiri? Ini merbahaya kerana ia boleh memberi atau menimbulkan situasi yang tidak baik. Ia akan mewarnakan kanvas politik kita dengan warna yang huduh dan menggerikan.

Apabila disebut grand design atau peracangan politik sudah tentu ia melibatkan permainan dan tindakan-tindakan matlamat menghalalkan cara – Mechiavellisme. Jika ini berlaku, maka apa yang dibimbangi itu akan lebih parah lagi. Justeru itu perancangan menggerakkan itu haruslah berpijak di bumi nyata dan ia dibina atas semangat wasatiyyah se-Malaysia.

Perlu juga disebut di sini pada hemat saya, kalau kepelbagaian pemikiran politik, serta banyaknya parti politik orang Melayu, ia bukan satu perpecahan. Perwujudan parti politik dalam negara mengamalkan sistem politik seperti Malaysia sesuatu yang dialu-alukan. Jadi tidak perlu dibimbangkan kerana kewujudannya masih mengikut Perlembagaan. Manakala Umno khususnya jangan meletakkan parti lain sebagai khianat, rasis dan sebagainya.

Rakyat yang sudah matang dan generasi baharu yang bermaklumat akan memilih mana-mana parti yang rasional bagi mencorak masa depan mereka. Manakala kalau semua parti tidak menempati citarasa mereka dan bersikap kentemporari, mereka akan tinggalkan dan tidak pedulikan kepadanya. Ini boleh memungkinkan mereka akan mengambil atau memilih cara lain untuk membina sistem pentadbiran negara.

Tegasnya, tanggapan kononya Melayu berpecah kini hanya kerana Melayu tidak terhimpun dalam satu parti, dan membawa pemikiran konservartif Melayu yang lama. Itu sahaja. Perbezaan itu bukan merupakan satu perpecahan sebenarnya, melainkan realitas di zaman ini.

Selagi Melayu disemati dengan semangat Melayu tulen berlandaskan agama, berdindingkan adat sopan, perpecahan yang dibimbangi IWM dan tokoh-tokoh intelektual yang jelas mendokong Umno itu tidak akan berlaku.

Kesimpulannya persidangan itu sendiri merupakan suatu propangda murahan untuk membela Umno. Yang nyatanya dengan senario politik baharu hari ini, bukan Melayu yang berpecah dan dibimbangkan hilang kuasa, tetapi parti Umno yang sudah “berkucar wak yah” (berpecah belah dan huru hara) dan bakal hilang kuasa.