Malaysia Dateline

Raja Petra Kamaruddin

Bezanya komitmen berjuang dan menghasut

Mengimbas sejarah kembali, saya mula mengenali Raja Petra semasa beliau pernah tinggal di Kuala Terengganu pada tahun 1980’an di mana ahli keluarga saya menerima beliau sebagai sahabat dan juga sering berkunjung kerumah ahli keluarga kami. Di atas sebab-sebab tertentu Raja Petra memilih untuk berhijrah ke England.

Disinilah letaknya masalah beliau yang ingin membuat tinjauan dan komen dari jauh dengan tidak menghayati suasana serta merasai suhu politik sebenarnya di lapangan di Malaysia.

Ini adalah seperti peminat bolasepak yang hanya menonton telivision tanpa turun ke padang pun kerana takut terkena debu padang bola dan mengkhuatiri pakaiannya kotor. Raja Petra lebih selesa menonton situasi politik Malaysia secara teori dari keselesaan bilik berhawa dinginnya di Manchester.

Kalau beliau betul berminat membela rakyat serta masyarakat, silalah pulang ke Malaysia untuk mengamati denyut nadi rakyat marhein dari lebih dekat lagi.

Tanpa komitmen penuh di lapangan adakah Raja Petra berkemampuan membuat analisa dengan tepat dan telus? Memperjuangkan kepentingan dan hak rakyat bukan seperti bermain video game di kawal dari jauh oleh remote control dari Manchester, England.

Saya ingin bertanya tentang tuduhan Raja Petra bila dan di mana kah ayat yang saya menyebut tokoh Umno dan Pas menyatakan “halal darah” untuk mereka boleh “membunuh orang bukan beragama Islam “?

Saya mencabar Raja Petra memberi bukti yang nyata. Inilah masalah apabila beliau menulis dari keselesaan dan keselamatan England dan jauh terpisah dari realiti dan perkembangan harian tanah air Malaysia tanpa mahu turun ke lapangan senario harian politik Negara .

Wartarwan dan pemberita yang berintegriti serta bermaruah sanggup turun ke padang malahan berani sanggup ke medan petempuran perang bagi mendapat maklumat berita sahih terkini dan bukan hanya menyedok berita dari pihak kedua atau ketiga seperti Raja Petra melakukan.

Isu halal darah, kafir harbi, pendatang dan ungkapan “patut di tembak” adalah isu sejak tiga tahun yang lepas yang di siarkan oleh media tempatan Melayu terutamanya yang mungkin susah di dapati di Manchester tempat Raja Petra.

Pakar politik dan wartawan tempatan pasti sedia tahu siapa dan apa yang dinyatakan oleh mereka yang berkenaan dan saya tidak berhasrat untuk membuat kerja penyelidikan untuk Raja Petra.

Beliau perlulah membuat penyiasatan sendiri sebelum membuat kenyataan yang tidak merujuk kepada fakta yang menjadi pengetahuan umum di sini tetapi bukan kepada beliau.

Begitulah terpisahnya Raja Petra dari senario politik tanah Malaysia dari rumahnya di England.

Mungkin Raja Petra perlu mempelajari sesuatu dari seorang wanita bernama Claire Brown, rakyat Britain, yang berani ke Malaysia baru baru ini untuk meninjau situasi Malaysia dengan lebih dekat. Claire juga berani menghadapi tindakan mahkamah dari Pas demi menuntut kebenaran sehingga parti Pas menarik balik kes tersebut.

Kalau seorang wanita Britain berani dan sanggup berbuat demikian kenapa tidak Raja Petra jika beliau benar mahu menuntut kebenaran dan bukan hanya untuk membuat cerita yang separuh masak ?

Saya bersimpati dan kasihan kepada sahabat lama saya Raja Petra yang menyoal isu-isu yang menjadi pengetahuan umum rakyat Malaysia tetapi beliau kelihatan terpisah dari realiti isu semasa yang tidak berada dalam pengetahuan beliau.

Islam mengesa kita berhujah berpandukan kepada ilmu pengetahuan dan bukan berasaskan emosi dan prasangka.

Saya menasihati Raja Petra jika beliau berhasrat membela nasib rakyat Malaysia, ianya lebih baik di lakukan dari dekat berasaskan maklumat serta ilmu tempatan dan bukan dari kerusi empok yang jauh di Manchester.

Kalau Raja Petra ingin membela rakyat Malaysia beliau perlulah sekurang kurangnya melawat Negara ini untuk menghayati ehwal semasa dari dekat dan jangan takut terkena sedikit debu debu politik tempatan. Bilakah terakhir Raja Petra memijak bumi Malaysia?

Tunjuklah komitmen yang besungguh sungguh dan jangan hanya menjadi kritikan sebagai hobi terpisah dari realiti sementara kami bertungkus lumus berkorban di medan sebenarnya.

Tajuk artikel Raja Petra- “Raja Bahrin samakan Umno dan Pas dengan pengganas New Zealand” menyimpang jauh dari isu kandungan penulisan saya.

Mereka yang membaca siaran penulisan asal saya di Malaysia Dateline dan sedia faham Bahasa Malaysia, akan mengerti apa yang saya nyatakan ialah dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia kebelakangan ini, ia nya mungkin boleh menyebabkan berlakunya insiden yang sama dengan tragedi di New Zealand.

Ini adalah untuk mengelak dari berlakunya tragedi yang sama. Tiada tuduhan siapa yang akan melakukannya kerana saya bukan ahli nujung.

Dalam artikelnya juga Raja Petra menuduh Chew Chong Sin, Rafizi Ramli dan saya tidak bertanggungjawab dan terlibat manipulasi.

Kerana kami bertanggungjawablah kami masih menetap di Malaysia dan berjuang di lapangan politik. Jika kami manipulasi fakta kami bersedia menghadapi tindakan mahkamah disini.

Adakah Raja Petra bertanggung jawab dengan melarikan diri ke England dan melontar tuduhan yang tidak berasas yang kukuh dari jauh di luar bidang kuasa perundangan Malaysia ?

Seorang pejuang sanggup bertempur di lapangan sebenarnya dan sanggup bertanggungjawab menerima risikonya. Tetapi penghasut hanya melontar tuduhan dari jauh di lindungi pemisahan negara asing tanpa perlu bertanggungjawab.

Itulah bezanya kami bertiga dengan Raja Petra yang tidak sanggup berada di lapangan perjuangan sebenarnya yang telah menimbulkan soal kredibiliti tanpa kesedian beliau menerima tanggungjawab tindakannya.

*Penulis adalah Senator Dewan Negara