Kata Pengantar buku saya ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, Deep State dan Darurat’ ditulis oleh Datuk Prof. Dr Ahmad Murad Merican. Saya dan penerbit memilih beliau kerana pendiriannya yang bebas dari ikatan kepartian dan birokrasi. Kini beliau bertugas sebagai professor Sains Sosial di ISTAC, UIAM.
Kata pengantar bukanlah satu keperluan dalam sesebuah buku. Ia hanya faktor tambahan kepada buku untuk memiliki sandaran yang kukuh. Ia juga boleh dianggap sebagai tanda penghargaan penulis kepada orang yang lebih dihormati.
Saya mula mengenalinya pada 2011 sewaktu bertugas di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Petronas. Bilik pejabat dia ialah nombor satu dan saya pula nombor enam. Kami sebaris, selalu bertemu dan berbincang. Kerap juga saya duduk bertukar fikiran di dalam pejabatnya. Pejabatnya sama dengan pejabat saya. Berselerak dengan kertas-kertas dan buku.
Pada 2015, pasukan kami ke SOAS, London bagi menyiapkan kajian manuskrip surat-surat Francis Light. Prof yang mengetuai dan merangka kerja, kami hanya membantu dan menjalankan kerja lapangan di perpustakaan SOAS. Kami berada di UK selama lebih kurang dua minggu. Ketika itu saya juga mengambil kesempatan melawat kembali ke universiti saya di Lampeter dan juga di Oxford. Sempat juga untuk saya bertemu dengan Dr. Annabel Teh Gallop di British Library.
Kajian ini dan perkongsian pengalamannya dengan beliau, telah menimbulkan minat untuk saya mendalami bidang filologi. Sekaligus ia memantapkan lagi pengetahuan saya dalam bidang sosiologi dan politik.
Prof. Dr. Ahmad Murad Merican memiliki falsafah yang tersendiri dalam metodologi penyelidikannya. Malangnya mazhabnya kurang diterima dalam sebuah universiti yang berorentasikan kejuruteraan dan sains. Ideanya tentang ‘decolonial of knowledge’ sangat keras dan sukar diterima. Tetapi itulah perjuangan dalam kesarjanaan.
Dia mengetahui tentang pendirian dan penglibatan saya dalam politik. Namun beliau lantang memberi pendapatnya samada berbentuk kritikan atau cadangan. Dia adalah seorang yang sangat ‘direct to the point’. Memang sakitlah kalau kena sanggah olehnya pendapat kita. Saya ini Melayu, jenis yang banyak berkias, madah berhelahnya banyak. Profesor dalam bab itu, beliau tidak Melayu! Kami suka memakai baju batek semasa di universiti, tidak kira hari Khamis atau tidak. Batek adalah simbol kebebasan, seni budaya dan identiti.
Apabila beliau meninggalkan UTP, beliau meminta saya mengambil alih sebagai Ketua Penyelidik kepada satu kajian yang ahlinya terdiri daripada professor yang senior di universiti-universiti lain. Selain daripada memenuhi syarat penaja geran, polisi universiti, kepercayaan beliau kepada saya untuk mengetuai kajian itu adalah satu penghargaan yang sangat bernilai.
Kajian itu sendiri memaksa diri saya lebih mempersiapkan keupayaan diri dalam penyelidikan yang lebih saintifik dan berobjektiviti. Ia merupakan pengalaman yang memeritkan tetapi berbaloi untuk meletakkan diri dalam dunia kesarjanaan.
Kemudian Prof minta saya ambil alih peranannya sebagai penyelia kepada empat pelajar PhD. Alhamdulilah saya selesaikan tugas tersebut. Tiga sudah memperolehi PhD dan seorang masih dalam penyelidikan. Ini juga satu pengalaman yang menarik dan memaksa saya lebih bersedia berhadapan dengan pelbagai cabaran baru.
Bukunya yang bertajuk ‘Batu Uban. Sejarah Awal Pulau Pinang’ memberi inspirasi saya membuat kajian tentang ‘Antropologi Politik Kampong’ yang memberi fokus politik di Hilir Perak dari 1955 hingga 2013.
Buku ‘Batu Uban’ itu dianugerah sebagai buku terbaik kategori buku sejarah oleh Yayasan Pembangunan Buku Malaysia 2021. Walhal, dia bukan seorang sejarawan. Itulah kualiti seorang sarjana. Buku tersebut membawa naratif baru dalam menyanggah pendapat bahawa Francis Light sebagai pengasas Pulau Pinang.
Sebelum ini beliau menulis buku dalam Bahasa Inggeris, ‘In Other Words Ideas on Journalism, Social Science and Society’ (2017) dan ‘Views from Pulau Pinang. Countering Modern Orientalism and Policy Perspectives’ (2018) dan beberapa buah buku lain sebelum itu. Kebanyakan penulisannya berkisar soal pemikiran semula tentang pensejarahan tempatan dan nasional.
Aliran pemikirannya yang secocok dengan aliran pemikiran saya memudahkan kami bertugas sebagai satu pasukan. Saya memang terlalu junior berbanding dengan beliau. Itulah kesempatan terbaik untuk saya berguru dengannya sewaktu dalam pasukan penyelidik. Saya sangat berselera apabila berbincang soal falsafah dengannya. Itulah teras utama kepada ilmu pengetahuan.
Dia menulis dalam kolumnya di Dewan Masyarakat, News Strait Times, Melaka Hari Ini, Berita Harian, Utusan, Dewan Budaya secara berkala. Bahkan dia kerap mengemas kini statusnya serta memberi respon spontan dalam facebook berinteraksi dengan media sosial. Tentu berbeza berbanding dengan penulis biasa-biasa.
Sarjana seharusnya keluar dari kepompong universiti lebih-lebih lagi dalam bidang sains sosial yang menjadikan masyarakat sebagai mauduk kesarjanaannya. Semakin banyak sarjana rapat dengan denyut nadi nafas masyarakat, semakin berkembang biak pengetahuan dan kebijaksanaan ke dalam masyarakat. Masyarakat perlu suntikan kesarjanaan dan ketajaman pemikiran agar sama-sama memikul tanggungjawab membina negara ke arah yang lebih baik.
Dia tidak hanya menyibukkan diri dengan menulis dalam jurnal Scopus, Q1 atau Q2 dan sebagainya. Menulis di jurnal hanya keperluan dunia kesarjanaan yang kadangkala bersifat ekskulsif dengan dunianya sendiri. Merakyatkan ilmu pengetahuan ke dalam pemikiran rakyat adalah tugas yang sewajarnya para sarjana universiti lakukan. Menulis dalam bahasa yang difahami dan dirasai oleh rakyat jelata. Rakyat perlu diberikan fikrah yang menjadi pencerahan kepada negara.
Suatu ketika dahulu, Prof Dr Khoo Kay Kim rajin menulis mengenai sukan dalam akhbar. Kita mungkin beranggapan bahawa selaku pakar sejarah yang menjadi rujukan ramai sejarawan seharusnya memberi perhatian kepada pensejarahan. Namun sebaliknya, Prof Dr Khoo Kay Kim memecah tembok kesarjanaannya untuk mendekatkan dirinya dengan masyarakat. Sehingga setiap tulisannya akan dibaca oleh peminat-peminat sukan tanah air.
Terima kasih, Prof atas tunjuk ajar dan perkongsian yang sangat bernilai.