Malaysia Dateline

BHIC catatkan kerugian bersih RM108.33 juta

Boustead Heavy Industries Corporation Bhd merekodkan kerugian bersih sebanyak RM108.33 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018 berbanding keuntungan bersih berjumlah RM10.58 juta yang dicatatkan pada 2017.

Perolehan menurun kepada RM169.11 juta, susut RM108.5 juta atau 39 peratus daripada RM277.65 juta yang diraih dalam tahun kewangan 2017.

“Kejatuhan perolehan yang dicatatkan pada 2018 adalah disebabkan oleh aktiviti dalam MRO pertahanan yang lebih rendah, ketiadaan projek minyak dan gas yang baharu serta penagguhan dalam memuktamadkan kontrak kapal selam,” kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Ia juga merekodkan kerugian sesaham sebanyak 43.60 sen, naik daripada 4.26 sen.

Boustead Heavy Industries merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan maritim dan aeroangkasa dalam pertahanan, penguatkuasaan serta keselamatan, perdagangan dan sektor tenaga.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan pengurangan dalam perbelanjaan pertahanan untuk 2019, kumpulan berharap kontrak semasanya akan menyumbang kepada pendapatan pada masa depan.

Di samping itu, selain Kementerian Pertahanan, ia akan terus mendapatkan kontrak-kontrak dari pihak lain khususnya pasaran luar negara.

Ketidakstabilan harga minyak global, turun naik ringgit berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia dan perang perdagangan antara dua gergasi ekonomi memberikan banyak cabaran kepada syarikat tersebut.

“Bagaimanapun, kumpulan terus kekal yakin dengan prospek masa hadapan dan kami mengambil pandangan yang agak berhati-hati ke atas perniagaan utama seperti pertahanan dan industri pembaikan dan pembinaan kapal/kapal komersil serta dalam sektor minyak dan gas,” katanya.

— BERNAMA