Nama peguam kelahiran Kelantan, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rasyid kini menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial.
Mana tidaknya, Nik Elin dan anaknya iaitu Tengku Yasmin Natasha telah berjaya mencabar sebanyak 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Perkara berlaku selepas sembilan panel hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin dan anaknya membatalkan kesahihan peruntukan jenayah syariah negeri tersebut.
Susulan keputusan dibuat, banyak pihak menyangka bahawa tindakan Mahkamah Persekutuan ini telah menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Menepis spekulasi, berikut kami kongsikan empat fakta mengenai petisyen ini yang tidak menjejaskan kedudukan mahkamah syariah berdasarkan hantaran @asratmalaysia di akaun X.
DUN Kelantan cabar Perlembagaan Persekutuan
Enakmen yang dicabar oleh Nik Elin ini digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di mana ia telah bercanggah dengan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah terpaksa membatalkan seksyen yang bercanggah mengikut Perkara 75 iaitu Kelarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang negeri.
Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika terdapat undang-undang negeri yang tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka ia adalah tidak sah dan terbatal.
Mahkamah Syariah Kelantan tetap kekal berkuasa
Perlu ditegaskan bahawa dalam enakmen tersebut, hanya seksyen yang bercanggah dengan Perlembagaan sahaja dibatalkan di mana majoritinya masih dikekalkan.
Manakala, seksyen yang telah dibatalkan pula masih wujud dalam Kanun Keseksaan dan masih boleh didakwa di mahkamah seperti laporan palsu, memusnahkan rumah agama, sumbang mahram, rogol haiwan dan tentunya perbuatan liwat.
Hukuman Kanun Keseksaan lebih setimpal
Berbanding peruntukan Enakmen Syariah Kelantan yang dibatalkan, hukuman dalam peruntukan Kanun Keseksaan sebenarnya lebih setimpal dikenakan terhadap pelaku.
Cuba pembaca bayangkan, pelaku perbuatan liwat hanya boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama tiga tahun sahaja mengikut Enakmen Syariah Kelantan.
Hukuman di bawah Kanun Keseksaan disifatkan lebih adil kepada keluarga mangsa di mana pelaku perbuatan liwat boleh dihukum penjara maksimum selama 30 tahun.

Mahkamah membenarkan petisyen Nik Elin sejak zaman Perikatan Nasional (PN)
Untuk makluman, Nik Elin memfailkan notis usul mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 bagi membatalkan 20 peruntukan kesalahan sejak 25 Mei 2022 lagi.
Notis kemudian dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 30 September tahun yang sama sebelum Nik Elin memfailkan petisyen pada 13 Oktober 2022 untuk dibicarakan.
Tindakan Nik Elin ini tidak bertujuan untuk mencabar kedudukan Mahkamah Syariah sebaliknya menghalang pesalah mengambil kesempatan lalu menggugat keabsahan undang-undang negeri.