Malaysia Dateline

Biar lantang di Parlimen supaya dapat bawa suara rakyat

“Saya dibayar rakyat puluhan ribu setiap bulan. Kalau Parlimen tutup, buat apa gaji dibayar,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan kelantangan wakil rakyat pembangkang di Parlimen.

Beliau berkata demikian mengulas tanggapan sesetengah pihak yang berpendapat adalah lebih baik untuk Parlimen ditutup jika Ahli-ahli Dewan Rakyat bertikam lidah semasa sesi persidangan.

Di Parlimen katanya, beliau telah menyuarakan isu rakyat terutama berkaitan moratorium tanpa faedah dan juga hukuman yang dikenakan terhadap doktor-doktor kontrak.

“Saya siap cadangkan “Windfall tax” dikenakan ke Syarikat gergasi yang buat keuntungan luar biasa semasa Covid-19 untuk tampung pembayaran tambahan ke doktor doktor kontrak.

“Malangnya kerajaan takut dengan tauke tauke. Mana Laptop 150000 yang dijanjikan? Kenapa peniaga peniaga kecil dipaksa tutup kedai sampai bankrap, tapi kilang kilang besar masih beroperasi?

“Jangan pung pang pung pang di media sosial, tapi di Parlimen diam saja. Takut. Saya di Parlimen setiap hari.
Saya bukan kritik sahaja. Penyelesaian ada juga,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya malam tadi.

Sepanjang tiga hari bersidang yang bermula Isnin lalu, pembangkang dilihat agak lantang dan terus menekan blok kerajaan untuk menjelaskan beberapa isu berkaitan hal rakyat, darurat, kesihatan dan vaksin.

Hari ini juga merupakan giliran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul untuk menyampaikan ucapannya dalam Mesyuarat Khas Parlimen.