Malaysia Dateline

“Biar lebih ramai mati, politik lebih utama dari prinsip”

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak sepatutnya diadakan susulan peningkatan kes Covid-19 yang terus mencatat tiga angka akhir-akhir ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Sabah dari sebuah negeri yang selamat akhirnya menjadi penyebab kluster.

Menurutnya ini terjadi disebabkan tindakan kerajaan pintu belakang yang cuba menguasai Sabah sehingga Warisan yang mentadbir negeri itu terpaksa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kononnya Menteri kebal tak payah kuarantin. Malangnya Covid-19 tidak tahu Menteri kebal.

“Kata pemimpin tertinggi, kalau menang, PRU akan diadakan. Jangan mungkir janji. Adakan PRU. Biar ratusan ribu dijangkiti.

“Biar lebih ramai mati. Politik lebih utama dari prinsip. Apa aku peduli. Aku dapat,” sindirnya dalam satu hantaran terbaharu di blognya.

Pada semalam, angka positif Covid-19 melonjak kepada 561 kes sekali gus merupakan rekod kedua tertinggi selepas mencatatkan 691 kes pada 6 Oktober lalu.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, jumlah kes positif virus tersebut sebanyak 15,657 kes manakala terdapat 4,587 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Sejak 20 September lalu, sebanyak 353 kes penularan di dalam negara berkaitan dengan individu yang pulang dari Sabah.