Malaysia Dateline

Biar muda selamanya

Penubuhan parti Muda yang diketuai Syed Saddiq dikatakan akan mengugat semua parti. Bukan sekadar Umno yang lama tetapi Pakatan Harapan juga akan terkesan juga. Banyak sudah yang mengulasnya. Ada yang mengulas sampai jadi pulasan, rambutan dan tidak kurang seperti ulasan setan.

Tulisan ini boleh dikaitkan dengan penubuhan parti itu tetapi ia juga menyentuh soal muda yang tiada kena mengena dengan parti politik. Muda yang bertenaga, kuat, berani, berahi dan berangan tinggi.

Tujuan tulisan ini hanya satu sahaja. Biarlah muda, muda selamanya..

Sejarah dunia faktor mudalah yang sering melakar perubahan paling ampuh. Di Nusantara sendiri, Jose Rizal (35 tahun), Chairil Anwar (26 tahun), Kartini (25 tahun) dan lain-lain adalah obor bangsa yang berbekas dalam melakukan perubahan bagi mendapatkan keadilan, kebebasan dan kebahagiaan.

Mereka mati muda. Ada yang mati dihukum penguasa. Ada yang mati kerana hukum alam. Ada yang mati sebelum waktunya mati.

Seperti juga dalam sejarah Rom, Tiberius dibunuh di dalam Dewan Senat ketika berusia 26 tahun. Pendekatan Tiberius yang tidak disertakan faktor-faktor kesediaan masyarakat untuk berubah berakhir dengan tragedi yang dikenang sepanjang zaman. Tiberius ditikam secara beramai-ramai oleh ahli senat. Lalu tiada siapa yang harus dipertanggungjawabkan pembunuhan tersebut.

Akhirnya Rom kembali kepada ahli senat yang pernah muda dan menjadi tua dengan mengekalkan ketidakadilan dalam masyarakat. Orang tua yang hanya mementingkan perut dan tembolok peribadi. Orang tua yang pernah muda. Idealisme Tiberius pun mati akhirnya.

Seperti pembunuhan Adib, pemuda Bomba yang kematian menjadi keranda usungan orang lain menjadi hero. Membakar emosi mereka yang naif dan lurus. Akhirnya pembunuh tidak dapat dicari.

Dalam Sejarah Melayu, Laksamana Bentan mati terkena bisa keris raja yang dibunuhnya. Memang Sultan Mahmud II berlaku kejam terhadap isteri Laksamana Bentan. Mengikut adat Melayu, kekejaman raja tidak boleh dibalas dengan derhaka. Apatah lagi menikam sultan yang hendak ke masjid.

Darah muda perlu disekalikan dengan kebijaksanaan akal fikiran. Muda dan kebijaksanaan adalah kata sifat dan suatu kerja.

Biarlah semangat Jose Rizal, Chairil Anwar, Kartini dan lain-lain anak muda terus hidup dan nyalakan api kehebatan anak muda sepanjang zaman. Kita tidak mahu lagi menangisi anak muda yang mati di tengah jalan. Patah sekerat jalan.

Dalam buku Falsafah Hidup karya Hamka, beliau menggariskan beberapa perkara yang menjadi pokok kepada kebijaksanan. Hamka menyatakan perlu ada sinergi antara ilmu, sunnah alam, adab, sederhana, berani dan adil dalam hidup bermasyarakat.

Orang muda biarlah muda selamanya dengan kebijaksanaan mereka. Jangan muda itu terhenti di tengah jalan. Tanah air ini perlukan anak muda. Lebih sekadar membantu mangsa banjir besar baru-baru ini. Itu hanya secuit daripada amanah yang lebih besar. Anak muda diperlukan untuk menyegar dan memberi tenaga bagi menjana terbinanya sebuah negara yang bebas rasuah, progresif, adil dan selamat.

Sahutlah seruan ini, anak muda!