Malaysia Dateline

Biar PH Perak tentukan siapa calon MB, kata Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rundingan di antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) dengan Umno berhubung kemelut Menteri Besar Perak sebagai satu perkembangan yang positif.

Menurutnya, rundingan itu bagi membolehkan kerajaan negeri yang dibentuk nanti lebih stabil, telus dan mengutamakan tadbir urus yang baik.

“Biarlah kepimpinan di Perak yang tentukan (sokongan kepada calon Menteri Besar) dan mengemuka cadangan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian selepas ditanya sama ada menyokong pencalonan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Difahamkan, seramai 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Saarani sebagai calon Menteri Besar.

Umno Perak juga dikatakan berjaya meyakinkan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) untuk menandatangani SD itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PH akan terus memantau perkembangan di Perak dan memutuskan perkara perlu bersama DAP dan AMANAH.

“Ini perkembangan positif kerana ia mencerminkan kepercayaan kepada Menteri Besar dan mereka harus mengambil langkah-langkah ini. Ini permulaan baik. Jadi, kami membiarkan mereka meneruskan rundingan.

“Rundingan berdasarkan prinsip pemerintahan, ketelusan dan pemerintahan yang baik.

“Bagaimana kamu meyakinkan dan memastikan setiap perubahan dapat diterima, jika kita pastikan kestabilan dan komitmen untuk melakukan reformasi dan melaksana tadbir urus baik,” tambah Anwar lagi.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibarisi 25 wakil Umno, DAP (16), Bersatu (5), AMANAH (5), PKR (3), Pas (3) dan satu masing-masing dari Gerakan serta Bebas.